Masa : 2.15 pm
Tempat: Dewan Makan SM Sains Muzaffar Syah (Mozac)
Kehadiran: Semua pelajar tingkatan 1 dan 2
Penceramah: Prof Madya Dr Hafizi Mohd Noor - Pengerusi Aqsa Syariff
Sesi ceramah dalam bulan Ramadan jam 2.00 petang?? Biar betul..tu kan masa yang paling osem sekali untuk tiiiduur..
Semalam aku dapat panggilan daripada cikgu Aziz, YDP IKRAM untuk menawarkan satu slot bersama Dr Hafizi di Mozac..Mana mungkin aku nak tolak pelawaan itu. Seorang aktivis dakwah dan Palestine yang amat aku sanjungi. Bak bulan jatuh ke riba. Terus aku jumpa Cikgu Isa (HEM) dan alhamdulillah beliau telah memberi kebenaran..Aku aturkan semuanya dengan menulis surat mohon kebenaran secara rasmi (hee..guna jawatanku sebagai guru BADRI) dan kemudian berjumpa ketua badge Amirul Afiq dan anakku Amir Shouqqie untuk urusan persediaan pelajar dan tempat. Aku yakin pelajar ni kena juga diberi peluang untuk melawan nafsu mengantuk mereka mendengar ceramah jam 2 petang..Mesti ada semangat juang yang tinggi seperti sahabat-sahabat mengharungi Perang Badar di bulan Ramadan dan sahabat-sahabat di bumi Palestine berjuang menentang kezaliman Israel.
Pelajar balik daripada sekolah pada pukul 1.40 tgh. Mereka bergegas untuk solat zohor di asrama. Aku dah tercegat di pintu asrama untuk memastikan mereka masuk ke dewan makan. Rasa gembira melihat muka anak-anak pelajar ini masih ceria dan senyum pada cikgunya.
Ceramah bermula jam 2.15 petang. Agak terkedu bila Dr Hafizi tanya ada LCD projektor. MasyaAllah boleh pula aku terlupa nak set up kan..Aku mohon diberi masa 10 minit untuk dapatkannya. Jadi Dr Hafizi pun mulakan ceramahnya dulu. Apa lagi aku pun berlari menuju ke makmal fizik untuk mengambil LCD dan extension wire. Sempat la aku buat dalam 10 minit tu untuk set up kan LCD..
ok jom kita ikuti intipati perkongsian daripada Dr Hafizi yang disampaikan dengan penuh bersemangat walaupun beliau kelihatan letih.
Sebahagian pelajar yang 'tumbang' sebentar, keletihan...
Kembali bersemangat melihat tayangan video kekejaman Israel
Cenderamata daripada sekolah. Terima kasih Dr Hafizi.
Tujuan berpuasa adalah untuk meningkatkan ketakwaan. Allah berfirman dalam surah Al Baqarah ayat 2 - 3 bermaksud " Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa. iaitu mereka yang beriman kepada yang ghaib, melaksanakan solat, dan menginfakkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka.."
Antara ciri orang bertakwa ialah percaya kepada yang ghaib dan mengeluarkan harta sama ada bila kaya ataupun miskin. Ghaib ialah sesuatu yang kita tak boleh nampak. Satu perkara yang ghaib ialah masa hadapan kita. Masa hadapan bukan sahaja di dunia tapi juga di akhirat. Orang yang yakin dengan Islam maka Allah akan menjamin masa depan. Semasa Perang Khandak, orang Yahudi bergabung dengan musyrik dan mengepung penduduk Islam Madinah. Semasa Islam dikepung, nisbah tentera musuh ialah 1:10. Rasulullah dan sahabat menggali parit. Semasa menggali parit tersebut, secara tiba-tiba Rasulullah saw bersabda bahawa kita akan menawan kota Konstantinapol yang ketika itu di bawah pemerintahan Rom. Semua orang yakin dengan hadis sehinggalah kota Konstantinapol itu ditawan oleh Sultan Muhammad Al Fateh. Semasa beliau berumur 10 tahun dia berkata bahawa "akulah yang akan buka kota itu."
Jangan rasa kita masih kanak-kanak yang kecil; yang tidak ada apa-apa tanggungjawab pada Islam. Cuba lihat Ali bin Abi Talib. Pada umur 9 tahun beliau telah menyahut seruan Rasulullah untuk menerima Islam. Beliau sanggup menggantikan Rasulullah di tempat tidur baginda semasa orang quraish menyerang rumah baginda. Ali lah yang banyak membunuh panglima dan pembesar quraish.
Usamah bin Zaid telah menjadi panglima perang pada umur 17 tahun. Begitu juga dengan Tariq bin Ziyad.
Rasulullah saw telah bersabda; "Mereka penduduk BaitulMaqdis) isteri-isteri mereka, anak-anak mereka akan kekal berada di dalam ribat (kubu) walaupun diperangi, diserang sehinggalah Allah memenangkan mereka."
Hadis ini ternyata betul di mana kita dapat saksikan denga mata kepala kita sendiri pada hari ini sahabat kita di Palestine berjuang untuk mempertahankan Baitul Maqdis di mana terdapat Masjidil Aqsa yang merupakan kota yang suci selepas Mekah.
Ada kisah seorang nelayan yang tua dan tidak dapat berjalan akibat kecederaan. Anak perempuannya yang baru berusia 13 tahun telah mengambil alih tugas bapanya pergi ke laut mencari rezeki. Nelayan di Gaza hanya boleh menangkap ikan dalam lingkungan 3 batu dari persisiran pantai. Jika lebih dari itu akan ditembak oleh tentera Israel yang sentiasa mengawal mereka. Dah ramai nelayan yang syahid ditembak. Bila ditanya budak ini apakah bantuan yang diperlukannya...Budak itu bukan meminta untuk dapatkan makanan ataupun ingin keluar ke tempat lain..tapi beliau dengan beraninya mengatakan aku inginkan sebuah bot yang lebih besar supaya aku dapat menangkap ikan ke laut yang lebih jauh daripada sekarang. Dia langsung tidak takut pada tentera Israel..
Aqsa Syarif telah menjalankan beberapa projek untuk membantu penduduk Gaza..seperti projek kilang roti, projek pelihara lembu, kambing dan ikan serta bantuan kepada anak-anak yatim...dan lain-lain lagi. Beberapa misi ke Gaza telah dijalankan untuk membawa bantuan yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia.
Kita tolong mereka bukan kerana mereka susah semata-mata, tetapi kerana mereka berjuang untuk mempertahankan al-Aqsa.
Hadis: "Akan ada dari umatku yang akan berjihad di jalan Allah. Mereka tidak akan digentarkan oleh musuh mereka maka Allah akan membantu mereka."
Perjuangan ini akan dijamin menang oleh Allah. InsyaAllah satu hari ini anak-anak sekelian akan dapat ziarah dan bersolat di dalam Masjidil Aqsa dengan aman.
Oleh itu apa tanggungjawab kita sekarang?
Belajarlah bersungguh-sungguh, jagalah akhlak kita sebagai seorang muslim. Jaga hubungan kita dengan Allah, dengan kedua-dua ibu bapa kita.
Marilah kita bersedekah walaupun hanya sepuluh sen demi membantu perjuangan mereka di Palestin.
Semoga anak-anak ini akan menjadi pewaris kepada perjuangan kami untuk memperjuangkan Islam.
No comments:
Post a Comment