Monday, 12 August 2019

Ciri-ciri Keunggulan Islam : Rabbaniyah


Islam adalah agama Allah.  Justeru itu semua prinsip dan ciri-ciri asasnya ditetapkan oleh Allah.  Prinsip dan ciri-ciri ini tidak berubah hinggalah ke Hari Kiamat.  Antaranya adalah:
  • Rabbaniyah
  • Syumuliyah
  • Universal
  • Menentang Jahiliah
  • Menentang Khurafat dan Tahayul
  • Mengutamakan Akhirat Tanpa Mengabaikan Dunia
  • Mengutamakan Akal dan Ilmu
  • Mementingkan Teknologi Semasa
  • Mudah dan Sederhana

Rabbaniyah
Kalimat rabbaniyah  berasal daripada perkataan bahasa Arab 'Rab' yang bermaksud 'Allah yang maha pentadbir lagi maha penentu'.  Konsep rabbaniyah bermaksud, Islam didatangkan oleh Allah, kerana itu segala dasar dan prinsipnya ditentukan oleh Allah, bukan oleh senat, kongres, ataupun parlimen.


Sumber rujukan bagi semua perkara yang berkaitan dengan agama dan kehidupan adalah Quran, sunah serta sumber-sumber yang diizinkan kedua-duanya.  Allah menyebutkan dalam Quran,
"Quran ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang menyakini."  (Surah al-Jasiyah: 20)

Berhubung dengan ayat ini, di dalam al-Asas fit Tafsir, Said Hawa melaporkan pandangan Imam an-Nasafi yang berkata, "Di dalam Quran terdapat segala ajaran yang berhubung dengan agama dan syariat dan ia adalah pedoman bagi hati-hati manusia."  Meninggalkan petunjuk serta pedoman Quran bermaksud memilih jalan kesesatan.  Mereka yang seperti ini tidak mendapat rahmat selama-lamanya.



Beriman dengan Quran tidak bermaksud membaca Quran dengan tajwid dan lagu yang betul semata-mata.  Allah menyatakan,
"Mereka yang kami berikan al-Kitab (Quran) kepadanya, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itulah yang beriman dengannya.  Sesiapa yang ingkar dengannya, mereka itulah orang-orang yang rugi."  (Surah al-Baqarah: 121)

Maksud 'membaca Quran dengan bacaan yang sebenarnya' mengikut sahabat Abdullah bin Masud adalah "Menghalalkan yang dihalalkan Quran, mengharamkan yang diharamkan, membacanya sepertimana ia diturunkan, tidak mengubah kata Tuhan daripada tempatnya dan tidak mentakwil Quran secara yang salah."  Apabila Quran tidak dijadikan sebagai sumber rujukan utama, manusia ditimpa masalah dan musibat dan mereka menanggung kerugian yang besar di dunia dan akhirat.

Di samping Quran, sunah juga penting sebagai sumber hukum.  Sunah berfungsi sebagai penerang dan penjelas kepada Quran.  Allah menyatakan,
"Apabila kamu berlainan pendapat berkenaan sesuatu perkara, kembalikan ia kepada Allah dan rasul sekiranya kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian." 
                                                                                                                  (Surah an-Nisa':59)

Berhubung dengan ayat ini di dalam al-Asas fit Tafsir, Said Hawa berkata, "Apabila kamu berbeza pendapat dengan pemimpin kamu ataupun sesama kamu dalam urusan agama, rujuklah dengan mencari kebenaran kepada al-Kitab dan sunah. Arahan supaya merujuk kepada Quran dan sunah semasa berlaku perbezaan pendapat perlu ditaati dan ia berkait rapat dengan iman."

Quran dan sunah adalah dua pusaka penting yang ditinggalkan nabi kepada umatnya. Berhubung dengan ini nabi berkata,
Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, apabila kamu berpegang teguh dengannya kamu tidak sesat selama-lamanya: Kitab Allah dan sunah aku. (Dilaporkan oleh al-Hakim dan Ibn Abdul Barr daripada Abdullah bin Umar. Dilaporkan oleh al-Baihaqi daripada Abu Hurairah)

Daripada Quran dan sunah lahirlah syariat dan hukum-hakum Islam. Selagi mana syariat dan hukum hakam ini dipatuhi, umat Islam berjalan di atas landasan rabbani dan mereta selamat dan sejahtera. Allah menyatakan,
"Kemudian kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) daripada urusan agama, maka ikuti syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui."  (Surah al-Jasiyah : 18)

Apabila syariat diketepikan dan kehendak serta hawa nafsu manusia diutamakan, umat Islam menghadapi masalah dan pancaroba.  Allah menyatakan,
"Turunlah kamu berdua dari syurga bersama-sama, sebahagian daripada kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. Apabila datang kepada kamu petunjuk daripada aku, sesiapa yang mengikut petunjukku, dia tidak sesat dan tidak celaka. Sesiapa yang berpaling daripada peringatan aku, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit dan kami mengumpulnya pada Hari Kiamat dalam keadaan buta." (Surah Taha ayat 123-124).

Berdasarkan ayat ini di dalam kitab al-Asasfit Tafsir, Said Hawa berkata, "Mereka yang mengikut kitab Allah dan syariatnya, mereka tidak sesat di dunia dan tidak menanggung celaka di akhirat. Sebaliknya mereka yang mengingkari perintah-perintah Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad, mereka merasai kesempitan hidup di dunia ini."


No comments:

Post a Comment

Kejutan hari ini

Petang ni mendapat kejutan hadiah dari Cikgu Amelia Suib, salah seorang pelanggan buku dan pengguna channel fizicmozac. Wow dapat telekong S...