Monday, 12 August 2019

Pencemaran udara Pasir Gudang

5 Julai 2019 - Jumaat

EKSKLUSIF: Pakar belum temui bukti sisa toksik bawah tanah

PASIR GUDANG: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan melihat bukti santifik, selain bacaan alat pengesan gas sebelum boleh merumuskan sisa toksik bawah tanah adalah punca pencemaran udara di sini.


Menterinya, Yeo Bee Yin, berkata bacaan kualiti udara yang tepat daripada alat pengesan gas juga perlu bagi menyokong teori sisa kimia yang ditanam menjadi punca pencemaran udara di daerah ini berulang.
“Kita sudah melakukan pemantauan untuk bacaan kualiti udara di 100 sekolah yang mengalami simptom pencemaran udara hari ini (semalam), namun masih tidak menemui bukti saintifik mengaitkan kewujudan sebarang gas dan simptom yang menjejaskan pelajar.
“Esok (hari ini), seramai 111 pakar bersama alat pengesan gas akan melakukan bacaan kualiti udara serentak di 111 sekolah di Pasir Gudang bagi membuat cerapan lanjut.
“Jika wujud sebarang gas kimia, alat pengesan akan dapat mengesan bacaan yang tepat dan kita boleh membuat kesimpulan lanjut mengenai pencemaran udara kali ini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
ADVERTISING
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar serta Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar, Tan Chen Choon.
BH Online malam kelmarin melaporkan Profesor Kejuruteraan Kimia, Jabatan Kejuruteraan Kimia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Ir Dr Wan Ramli Wan Daud, berkata tindakan menanam sisa toksik dalam tanah boleh mengakibatkan pencemaran udara.
Katanya, saliran air bawah tanah di Pasir Gudang kemungkinan sudah tepu dengan sisa toksik yang meruap sebelum meresap melalui tanah, naik ke permukaan sehingga membentuk gas toksik.
Sementara itu, Bee Yin sekali lagi menafikan tuduhan mendakwa beliau dan kementerianya lambat bertindak menangani isu pencemaran Pasir Gudang sejak 14 hari lalu, menyifatkannya sebagai pembohongan sangat serius.
Katanya, fitnah berkenaan adalah penghinaan kepada profesionalisme dan dedikasi ratusan pegawai dan kakitangan yang bertungkus-lumus menyiasat, membaca kualiti udara, selain mengerakkan operasi menangani pencemaran udara sejak dua minggu lalu.
“Saya akan terima jika kritikan konstruktif, namun pemfitnah tiada tempat dalam politik tanah air. Bagaimana saya mampu kawal semua data dikeluarkan pegawai termasuk operasi penguatkuasaan yang dijalankan ratusan pegawai pada zaman teknologi maklumat ini.
“Apatah lagi, tuduhan mendakwa kementerian lambat bertindak. Ia sesuatu yang tidak logik. Saya sudah bertemu peguam dan meminta mereka mengenal pasti pemfitnah ini sebelum menyaman mereka,” katanya.
Pelajar Sekolah Menengah Rendah Islam At-Tahfiz memakai penutup hidung dan mulut ketika sesi pembelajaran sebagai langkah pencegahan berikutan pencemaran udara di sekitar Pasir Gudang. - Foto Adi Safri
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor,Wan Abdul Latiff Wan Jaafar, berkata pihaknya akan meneruskan operasi pemeriksaan terhadap baki kilang kimia di sekitar Pasir Gudang, termasuk yang dikaitkan dengan menteri tertentu.
“Operasi akan diteruskan mengikut jadual dan dijangka selesai dalam masa seminggu lagi” katanya.
Katanya, JAS Johor juga akan meningkatkan pemantauan di semua kilang berasaskan kimia termasuk menggunakan dron bagi menyiasat dakwaan sisa toksik ditanam dalam tanah.
“Jika ada longgokan sisa kimia di kilang, kita mungkin dapat kesan dengan pemantauan termasuk menggunakan dron, namun jika sisa kimia ditanam dalam tanah, ia agak sukar dikesan kecuali jika dapat maklumat lanjut.
“JAS Johor minta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat sedemikian supaya tampil ke hadapan dan memaklumkan kita supaya siasatan dan tindakan segera boleh diambil,” katanya.
Di Bera, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menangani masalah pencemaran udara di Pasir Gudang.
Katanya, ia termasuk membanteras kilang terbabit dalam tempoh enam bulan.
“Saya sudah bertemu Menteri Besar Johor (Dr Sahruddin Jamal) semalam bagi tujuan itu. Selain Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan, ia turut membabitkan pejabat tanah kerana mereka ada kuasa merampas tanah serta menutup kilang terbabit,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Penggerak Dasar Komuniti Negara di sini, semalam.
PBT digesa proaktif kenal pasti tapak sisa
Johor Bahru: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara digesa mengambil langkah proaktif mengenal pasti tapak pembuangan sampah serta sisa kimia haram bagi mengelak pencemaran seperti di Pasir Gudang berulang.
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata berdasarkan pemerhatian peribadinya, ada banyak tapak pembuangan sampah haram di seluruh negara.
“PBT seluruh negara perlu mengambil pengajaran kejadian di Pasir Gudang dan ambil langkah awal mengesan tapak pembuangan sampah serta sisa kimia haram. Ambil tindakan tegas terhadap dalangnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Hari Untuk Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja Sedunia NIOSH Wilayah Selatan, di sini, semalam.
Katanya, PBT perlu memperkasakan hubungan kerjasama dengan semua agensi kerajaan serta penduduk kawasan perumahan untuk memastikan jaringan tindakan serta penyaluran maklumat yang cekap dan pantas.
“Masyarakat juga perlu memainkan peranan sebagai mata dan telinga agensi kerajaan terutama PBT dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan menyalurkan maklumat segera jika mengesan aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing.
“Kerjasama masyarakat dan agensi kerajaan amat penting bagi memastikan kesejahteraan, keselamatan dan kesihatan semua pihak terjamin,” katanya.
2 lagi kilang diarah henti sementara operasi
Pasir Gudang: Dua lagi kilang berasaskan kimia di sini, diarah menghentikan sementara operasi untuk siasatan lanjut, manakala dua yang lain akan didakwa di mahkamah.
Bagi arahan henti sementara operasi, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar, berkata ia dibuat mengikut Perintah Tahan Operasi.
Perintah berkenaan, katanya, dikeluarkan pada operasi bersepadu besar-besaran membabitkan 139 pegawai pelbagai agensi, malam kelmarin.
Dengan perkembangan itu, beliau berkata, jumlah keseluruhan kilang berasaskan kimia yang sudah diarah menghentikan sementara operasi sejak 21 Jun lalu untuk siasatan lanjut, menjadi lapan buah.
“Sebanyak 34 kilang berasaskan kimia diserbu dalam operasi besar-besaran bermula jam 7.30 malam sehingga 1 pagi tadi (semalam). Dua lagi kilang berasaskan kimia diarah menghentikan sementara operasi untuk siasatan lanjut.
“Dua kilang lain akan dihadapkan ke mahkamah, manakala enam lagi dikenakan kompaun mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya pada sidang media, di sini semalam.
Secara keseluruhan, beliau berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor sudah mengambil tindakan penjejakan dan penyiasatan ke atas 153 premis dengan kompaun bernilai keseluruhan RM166,000 dikeluarkan.
Katanya, sebanyak 102 tindakan juga sudah diambil, termasuk kesalahan Buangan Terjadual (73), Efluen Perindustrian (10), Bilangan Notis Arahan (11) dan Perintah Tahan Operasi (8).
Semalam, BH melaporkan JAS sudah mengambil tindakan penjejakan dan penyiasatan ke atas 90 premis, yang menyaksikan 81 kompaun dikeluarkan.
Sementara itu, Mohd Khuzzan berkata, seramai 38 pelajar dari sembilan sekolah dilapor mengalami masalah kesihatan disebabkan pencemaran udara sehingga jam 12 tengah hari semalam.
“Namun, tiada pesakit dimasukkan ke wad, menjadikan hanya seorang yang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI). Sesi persekolahan juga akan diteruskan seperti biasa.
“Pentadbiran sekolah diarah membuka semua pintu dan tingkap kelas di aras tiga dan empat bagi pengaliran udara, malah pakar masih terus memantau kualiti udara di 100 sekolah secara serentak hari ini (semalam).
“Esok (hari ini) pula, mereka akan ke semua 111 sekolah di Pasir Gudang secara serentak,” katanya.
Bahan tercemar tepu di udara
Kuala Lumpur: Insiden pencemaran udara yang menjejaskan kesihatan penduduk di Pasir Gudang, dikesan akibat pembentukan heat island atau ‘pulau haba’ ekoran pelepasan aktiviti perindustrian di kawasan itu yang dilihat sudah mencapai tahap tepu.
Lebih memburukkan keadaan, daerah itu terletak berhampiran laut dan pelabuhan, ditambah pula musim peralihan monsun yang meniup angin dari arah selatan (laut) ke bahagian utara (petempatan penduduk) mempercepatkan lagi insiden pencemaran.
Situasi itu dikesan sekumpulan jururunding alam sekitar yang menjalankan kajian di Pasir Gudang susulan insiden terbaru pencemaran udara yang bermula kira-kira dua minggu lalu, hanya tiga bulan selepas tragedi pencemaran Sungai Kim-Kim.
Jururunding SOx NOx Asia Sdn Bhd, Tan Poh Aun, berkata mereka mengesan kewujudan ‘pulau haba’ di Pasir Gudang selepas menjalankan simulasi semula untuk mencari punca utama pencemaran di situ.
“Aktiviti perindustrian di Pasir Gudang boleh diklasifikasikan sudah mencapai tahap tepu. Pelepasan (bahan cemar) ketika ini, walaupun mematuhi had ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), daya dukung atau carrying capacity di daerah ini sudah mencapai tahap maksimum (tipping point).
“Situasi di Pasir Gudang berlainan berbanding kawasan perindustrian biasa kerana ia (bahan cemar) tidak mengalami proses penguraian, sebaliknya akan terkumpul di tengah-tengah ekoran perbezaan suhu.
“Udara panas berlaku di kawasan perindustrian Pasir Gudang, tetapi di sekeliling atau luar kawasan itu berudara sejuk. Perbezaan suhu menyebabkan bahan cemar tidak keluar sebaliknya terkepung di kawasan bersuhu rendah dan tidak mampu terurai,” katanya kepada BH.
SOx NOx Asia pernah bekerjasama dalam program latihan industri bersama fakulti pengajian alam sekitar universiti tempatan, selain penggerak projek dan jururunding laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).
Daerah Pasir Gudang mempunyai 2,005 kilang, termasuk sekurang-kurangnya 250 kilang yang operasinya berasaskan kimia.
Poh Aun yang juga pakar kualiti udara dan bau, berkata apabila bahan cemar terkumpul dalam ruang udara kawasan perindustrian Pasir Gudang, ia akan ditolak oleh angin pada waktu pagi ke kawasan petempatan dan perumahan penduduk.
“Ketika ini musim peralihan monsun dan daerah itu tidak mempunyai banyak angin meskipun pada waktu malam untuk menolak keluar bahan cemar dari ‘pulau haba’.
“Namun disebabkan Pasir Gudang terletak bersebelahan selat, akan ada bayu laut pada waktu pagi.
“Bayu laut ini yang menolak udara di kawasan perindustrian itu ke kawasan petempatan penduduk pada waktu pagi. Teori ini dikuatkan lagi apabila kebanyakan mangsa adalah pelajar sekolah pada waktu pagi, malah ramai juga pelajar yang terjejas berada di kelas di tingkat atas bangunan sekolah,” katanya.
Katanya, angin berisi bahan cemar yang ditolak bayu laut akan terkumpul di dalam kelas di tingkat atas yang tidak mempunyai pengudaraan yang baik meskipun mempunyai tingkap.
Sementara itu, jururunding alam sekitar Tri EcoEdge Sdn Bhd, Ir Mazura Mazlan pula berkata, punca insiden terbaru di Pasir Gudang tiada kaitan dengan bencana Sungai Kim Kim kerana ia membabitkan bahan cemar yang terkumpul di udara.
“Jika di Sungai Kim Kim, kita dapat mengesan ada kilang melepaskan sisa perindustrian secara sengaja ke dalam sungai, tetapi dalam kes terbaru, kita tidak dapat pastikan kilang mana yang mengeluarkan bahan cemar berbahaya,” katanya.
Tru EcoEdge Sdn Bhd adalah syarikat pakar perunding tempatan, antara lain dalam penyediaan laporan EIA, audit alam sekitar serta pengurusan sisa pepejal dan bahan buangan berjadual.
Mengenai tiga gas luar biasa, iaitu methyl mercaptanacrylonitrile dan acrolein yang dikenal pasti Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Mazura menjelaskan, ia gas yang dikesan setakat ini sahaja.
“Kemungkinan ada gas pencemar lain masih belum dikesan. Aktiviti industri di daerah itu sudah berada pada tahap tepu sehingga membentuk ‘pulau haba’.
“Apabila terjadi situasi itu, kemungkinan bahan kimia yang terperangkap akan saling ‘berinteraksi’, membentuk bahan kimia atau gas berbahaya yang menjejaskan kesihatan manusia,” katanya.
Pada 28 Jun lalu, kementerian berkenaan mengesan kehadiran tiga gas terbabit yang disifatkan sebagai luar biasa (anamoli) dalam kes pencemaran terbaru di Pasir Gudang, termasuk dua kes yang masing-masing turut dikesan ketika bencana Sungai Kim Kim.

No comments:

Post a Comment

Kejutan hari ini

Petang ni mendapat kejutan hadiah dari Cikgu Amelia Suib, salah seorang pelanggan buku dan pengguna channel fizicmozac. Wow dapat telekong S...