Berhenti sebar berita palsu kemalangan di Lebuhraya Plus - Timbalan KPN
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan tindakan pihak tidak bertanggungjawab memanipulasikan insiden kemalangan di Kilometer 293.5, Lebuhraya Utara Selatan, yang berakhir dengan kematian seorang lelaki berusia 29 tahun, Sabtu lalu.
Pelbagai spekulasi dikeluarkan dalam rangkaian komunikasi dan platform media sosial bagi membangkitkan sentimen perkauman yang boleh menjejaskan perpaduan masyarakat dan ketenteraman awam di negara ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor, berkata pihaknya sudah mengeluarkan beberapa kenyataan rasmi mengenai punca kejadian berkenaan.
“PDRM sudah mengeluarkan kenyataan rasmi, tangkapan pun sudah dibuat ke atas suspek yang terbabit dalam kejadian itu.
“Sekarang, kami merayu saksi yang berada di lokasi kejadian untuk tampil memberikan keterangan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mazlan berkata, PDRM menasihatkan masyarakat supaya tidak menyalahgunakan rangkaian komunikasi media sosial dengan cara yang boleh memecahbelahkan dan mengganggu-gugat perpaduan antara kaum.
Katanya, tindakan mengeluarkan berita atau laporan tidak benar ini akan menjurus kepada polemik perkauman dan keagamaan.
Sejak semalam, pelbagai spekulasi tidak benar disebarkan melalui media sosial berhubung kejadian kemalangan yang berakhir dengan kematian pegawai bank, Syed Muhammad Danial Syed Shakir.
Pada hari sama, suspek seorang lelaki berusia 40 tahun dan isterinya berusia 36 tahun ditahan selepas dipercayai melanggar mangsa hingga menghimpitnya ke besi pembahagi jalan akibat panik dengan perbuatan mangsa yang membawa kayu besbol memukul depan kereta suspek.
Akibat kecederaan dialaminya, mangsa dihantar ke Nilai Medical Centre oleh orang awam dan disahkan sudah meninggal dunia.
Suasana hiba tunggu jenazah suami
SERDANG: Suasana pilu menyelubungi Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang di sini, hari ini apabila seorang wanita menangis teresak-esak sambil mendukung bayi berusia empat bulan ketika menunggu proses bedah siasat mayat suaminya.
Qistina Ayu Mohd Rozhan, 28, isteri Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29, yang maut susulan perselisihan faham dalam kemalangan kecil di Kilometer 239 Lebuhraya Utara Selatan, Kajang, semalam, kemudiannya ditenangkan oleh ahli keluarga terdekat.
Wanita itu juga dilihat beberapa kali mengesat air mata dengan tudungnya.
Ketika didekati wartawan untuk ditemubual, dia enggan mengulas, sebaliknya meminta ruang untuk menenangkan diri.
Sementara itu, bapa mentua mangsa, Mohd Rozhan Ramlee, 57, berjanji akan membantu anaknya untuk menjaga kebajikan cucunya itu, Sharifah Dian sebaik mungkin.
“Allahuakbar, saya berazam untuk membantu menjaga cucu. Saya sama sekali tidak menyangka kejadian ini menyebabkan cucu kehilangan bapa dalam sekelip mata.
“Menantu saya seorang anak yang taat kerana setiap hujung minggu dia akan membawa isteri dan anaknya ke rumah ibunya di Shah Alam. Jika diikutkan perancangan, mereka sekeluarga mahu menyambut Aidiladha di rumah ibunya hari ini,” katanya ketika ditemui di hospital itu.
Mohd Rozhan berkata dia dimaklumkan kejadian menimpa menantunya itu oleh anak bongsu, Zafri Amir, 19, selepas mendapat maklumat menerusi rakannya yang kebetulan melalui lokasi kejadian, jam 2 petang, semalam.
“Sebaik menerima berita itu, saya bersama anak (Qistina Ayu) bergegas dari rumah di Bukit Mahkota (Bangi) ke lokasi untuk melihat keadaan menantu,” katanya.
Beliau berkata Zafri yang tiba lebih awal di lokasi, membawa Syed Muhammad Danial ke klinik kesihatan berhampiran menaiki kereta orang awam sebelum dibawa ke Nilai Medical Centre kerana klinik berkenaan tutup.
Katanya, sejurus tiba di lokasi kejadian bersama Qistina Ayu, mereka mendapati bahagian belakang kereta menantunya kemek.
“Jika dilihat pada kerosakan kereta itu, tidak ada kerosakan teruk dan mungkin menantu hanya cedera ringan.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di Nilai Medical Centre, menantu disahkan meninggal dunia kerana kecederaan parah di kepala,” katanya.
Dalam pada itu, Zafri berkata abang iparnya ditemui dalam keadaan separa sedar di tepi laluan lokasi berkenaan.
“Saya kemudian memohon bantuan orang ramai untuk membawanya menaiki kereta ke klinik berhampiran. Ada kesan lebam di kepala serta perut mangsa. Ketika dalam perjalanan ke klinik itu, abang ipar dalam keadaan separa sedar.
“Selepas tiba di Nilai Medical Centre, mangsa sudah tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Unit Kecemasan. Pihak hospital kemudian memaklumkan dia sudah meninggal dunia,” katanya.
Jenazah Syed Muhammad Danial akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Mahkota, petang ini.
No comments:
Post a Comment