Di sebalik pahala ada
"suka". Di sebalik syurga ada "reda". Maknanya Allah
memberikan pahala kerana Dia suka akan amalan kita. Allah mengurniakan syurga
apabila Dia reda dengan kita.
Tiada siapa boleh mewajibkan Allah
memberi pahala dan syurga. Boleh jadi suatu amalan berpahala sepatutnya, tetapi
berdosa kerana Allah tidak suka. Contohnya kita menderma tetapi niat di hati
menanti apa orang akan kata. Begitulah, ada amalan yang membawa ke syurga
sepatutnya, sebaliknya mengheret kita ke neraka kerana Allah tidak reda.
Rasulullah sudah mengingatkan:
"Orang terawal yang akan diadili ialah seorang yang mati syahid. Allah
memperlihatkan kurniaan yang pernah diberikan kepadanya.
Allah bertanya: Apakah yang kamu
lakukan dengan nikmat-nikmat tersebut?'
'Aku berperang di jalan-Mu sehingga
aku gugur sebagai syahid.'
'Kamu tipu! Kamu berperang supaya
kamu dipanggil wira. Dan gelaran itu telah diberikan.'
Lalu Allah memerintahkan dia dibawa
pergi dengan wajahnya terseret sampailah dia dilemparkan ke dalam neraka.
Kemudiannya seorang yang menuntut
ilmu dan mengajarkannya serta membaca al-Quran. Allah mem perlihatkan kurniaan
yang pernah diberikan kepadanya.
"Apakah yang kamu lakukan dengan
nikmat tersebut?'
'Aku belajar ilmu dan mengajarkannya
serta membaca al-Quran kerana-Mu.'
'Kamu tipu! Kamu belajar ilmu supaya
dipanggil orang alim dan kamu membaca al-Quran supaya disebut qari. Dan gelaran
itu telah diberikan.'
Lalu Allah memerintahkan dia dibawa
pergi dengan wajahnya terseret sampailah dia dilemparkan ke dalam neraka.
Kemudiannya seseorang yang diberikan
Allah kemewahan kepadanya. Allah memperlihatkan kurniaan yang pernah diberikan
kepadanya.
'Apakah yang kamu lakukan dengan
nikmat tersebut?'
'Tidak ada satu jalan (kebaikan) pun
yang Engkau sukai melainkan aku menyedekahkan harta pada semua jalan tersebut.'
'Kamu tipu! Kamu melakukannya supaya
dipanggil dermawan. Dan gelaran itu telah diberikan.'
Lalu Allah memerintahkan dia dibawa
pergi dengan wajahnya terseret sampailah dia dilemparkan ke dalam neraka."
(Riwayat Muslim)
Selain sum'ah seperti dalam sabda Nabi, syirik, riyak, takbur dan
banyak lagi perkara yang boleh membuang suka dan reda Allah pada amalan syurga
dan berpahala kita. Jadi semak diri selalu, adakah setiap amalan syurga atau
berpahala yang kita lakukan demi Allah suka dan reda?
Solusi isu 72
No comments:
Post a Comment