Thursday, 5 December 2019

Jagalah HATI



1.    Membaca al-Quran
Sudah semestinya hati terganggu oleh karenah-karenah manusia atau gelombang kehidupan.  Namun, lazimilah mencapai al-Quran dan membacanya. Bacalah ayat-ayat Allah itu, kerana ia pasti akan menjana kekuatan jiwa untuk menghadapi badai kehidupan. Itulah penawar jiwa, ubat kepada hati.

Firman Allah bermaksud:
“Diturunkan kepadamu al-Quran sebagai perunjuk dan rahmat serta penawar……”               Surat al-Isra’ :82

Jiwa yang tidak membaca al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri.  Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri.  Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa al-Quran segalanya tidak bermakna.

2.    Mendirikan Solat
Rawatlah hati dengan solat.  Seorang ulama bernama al-Hakim berkata: “Jika kamu ingin Allah ‘bercakap’ denganmu, bacalah al-Quran kerana al-Quran ialah ayat-ayat Allah yang ditujukan kepadamu.  Tetapi jika kamu pula ingin ‘bercakap’ dengan Allah, maka dirikanlah solat kerana solat hakikatnya ialah doa, pengaduan, pujian dan rintihan seorang hamba kepada Allah.”
Hati yang lemah akan mendapat semula kekuatannya apabila bersandar kepada satu kuasa Yang Maha Perkasa.  Sebagai perbandingan, pakar-pakar psikologi sering menyarankan supaya kita meluahkan masalah yang membebankan hati kepada orang yang kita sayangi, percayai dan hormati.  Langkah itu akan meredakan beban rasa yang mencengkam jiwa.
Ya, sekiranya kita meluahkan rasa hati kepada manusia itu pun sudah melegakan. Apa lagi jika kita solat, ini bererti kita meluahkan segala rintihan, permasalahan, kesusahan kepada Zat yang mampu menyelesaikan segala masalah yang dihadapi oleh hambaNya.
Bukankah Allah Al-Sami’ @ Maha Mendengar? Allah sentiasa mendengar rintihan dan permintaan hambaNya.  Apabila kita rasa Allah mendengar segala pengaduan kita, sudah pasti jiwa kita akan mendapat ketenangan dan kerehatan.
Sebab itu, seringkali Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Sayidina Bilal (apabila Baginda menyuruhnya melaungkan azan), “Rehatkan kami dengan solat wahai Bilal.”  Itulah kerehatan hati yang dimaksudkan oleh Imam Ghazali dengan anjurannya, “Carilah hatimu dalam solat!”

3.   Mengingati Mati
Rawatlah hati dengan mengingati mati.  Hati yang mengingati mati akan hidup, yang melupakan mati akan mati.  Sabda Rasulullah s.a.w: “Orang yang paling cerdik iaitu mereka yang banyak mengingati mati.” (Riwayat al-Baihaqi)
Jadilah insan bijaksana sepertimana dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w, yakni mereka yang sentiasa mengingati mati dan bersedia untuk menghadapinya.  Impak daripada mengingati mati, para sahabat Rasulullah s.a.w hidup bahagia, tenang dana man di samping dunia ditadbir dan diurus dengan cekap dan berkesan.
Ingat mati ialah pembasuh hati yang gelisah dan resah.  Cukuplah mati sebagai peringatan dan pengajaran.  Ingat mati akan memadamkan rasa nikmat melakukan maksiat. Ingat mati akan memadamkan rasa enggan melaksanakan taat.  Ingat mati itu sesungguhnya akan memberi satu tenaga yang begitu ampuh untuk menjalani kehidupan dengan jiwa yang kukuh.  Persediaan menghadapi mati menyebabkan kita lebih produktif dan aktif dalam hidup!.  Sebaliknya, melupakan mati akan mematikan hati.
Jika mati pun belum dapat mengingatkan kita, maka berdoalah kepada Allah agar dikurniakan ‘hati’ yang lain, kerana hakikatnya kita sudah tidak mempunyai hati lagi.  Berhati-hatilah menjaga hati, jangan sampai kita kehilangannya!
Rujukan: SOLUSI isu #4

Wednesday, 4 December 2019

Hak Muslim Tanggungjawab Kita

1 Hari 1 Hadis, [20.11.15 12:22]
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Hak Muslim Tanggungjawab Kita

عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ سِتٌّ قِيلَ مَا هُنَّ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِذَا لَقِيتَهُ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ وَإِذَا اسْتَنْصَحَكَ فَانْصَحْ لَهُ وَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللَّهَ فَسَمِّتْهُ وَإِذَا مَرِضَ فَعُدْهُ وَإِذَا مَاتَ فَاتَّبِعْهُ


Dari Abi Hurairah (ra) katanya: Telah bersabda Rasulullah (SAW): Hak muslim terhadap muslim lainnya ada enam. (Baginda) ditanya: Apakah hak-hak tersebut, ya Rasulullah? Jawab baginda: Jika kamu bertemu dengannya, ucapkanlah salam padanya. Jika dia mengundangmu, hadirilah undangannya. Jika dia minta nasihatmu, berilah dia nasihat. Jika dia bersin dan bertahmid, maka tasymitkan dia. Jika dia sakit, maka ziarahilah dia dan jika dia meninggal dunia, maka hantarlah (jenazah)nya.

Pengajaran:

Setiap Muslim mempunyai hak yang perlu ditunaikan dan ia menjadi tanggungjawab kepada Muslim yang lain. Antaranya:

a.  Jika bertemu dengan setiap Muslim hendaklah mengucapkan salam padanya. 

b.  Jika dia mengundang, kita perlu memenuhi undangannya seperti perkahwinan, akikah, kenduri kesyukuran dan lain-lain selama tiada keuzuran. 

c.  Jika dia meminta nasihat dalam urusan keduniaan, berilah dia nasihat. (Imam An-Nawawy berkata: Syarat memberi nasihat jika diminta, hanya terbatas pada masalah dunia. Tetapi jika bersangkutan dengan masalah agama, kita wajib memberi nasihat walaupun tidak dipinta). 

d.  Jika dia bersin dan bertahmid اَلْحَمْدُ للَّه, maka tasymitkan (doakan) يَرْحَمُكَ الله (semoga Allah mencucuri rahmat keatas kamu). 

e.  Jika dia sakit, maka ziarahilah. Ziarahi orang sakit termasuk salah satu amal solleh yang sangat afdhal 

f.  Jika dia meninggal dunia, maka hantarlah (jenazah)nya kekubur. 

JOM bersifat RAHMAH dengan menunaikan hak Muslim lain yang menjadi tanggungjawab kita.

#Rahmah Untuk Semua#
Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Johor

20hb November 2015


Kejutan hari ini

Petang ni mendapat kejutan hadiah dari Cikgu Amelia Suib, salah seorang pelanggan buku dan pengguna channel fizicmozac. Wow dapat telekong S...