Tuesday, 29 November 2011

Hijrah Kembara Kehidupan


Di sebalik berakhir tahun 1432H dan menjelangnya tahun baru hijrah 1433H kita memerhati dan merenung hari-hari yang ditentukan Allah,
Kita berhenti sejenak memerhati dan merenung bukan dengan tujuan untuk menangisi nasib kita dan situasi umat Islam sekarang, atau meratapi apa yang berlaku, tetapi kita merenung peristiwa yang berlaku untuk kita mengambil beberapa pengajaran dan pelajaran, seterusnya kita berazam untuk mengubah nasib kita kepada kedudukan yang lebih baik dan kita mengingatkan pendirian kita, sekiranya kita telah memperolehi kebaikan, maka pujian hanya bagi Allah di atas taufiknya dan sekiranya tidak memperolehinya maka sewajarnya memperbetulkan keadaan kita. 

Firman Allah:

“Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”. (Ar-Ra’d: 11)

Sesungguhnya Hijrah adalah peristiwa penting dalam perkembangan Islam dan kelompok muslim pertama. Hijrah merupakan perpindahan dakwah dari suasana lemah dan penuh penderitaan kepada suasana kemenangan dan kemantapan, penubuhan Negara dan permulaan jihad untuk menyampaikan risalah Islam ke seluruh alam. Pelajaran yang patut kita tegaskan di sini ialah penubuhan Negara Islam pertama adalah natijah atau hasil daripada perubahan besar yang berlaku ke atas diri kelompok mukmin yang pertama yang hanya redha Islam sebagai agama, yang terdidik dan berjuang kerananya. Oleh sebab itu perubahan yang berlaku ini merupakan kemenangan yang sebenar. Setiap perubahan yang tidak dicetuskan dari dalamannya sendiri tidak akan membuahkan hasil yang diharapkan dan setiap perubahan yang dipaksa melalui kekerasan dan peraturan tertentu hanya perubahan yang terbatas kesannya.  

Seluruh anggota umat menyedari realiti mereka yang menyedihkan dan menanti saat untuk mengubahnya. Pada masa yang sama mereka mengetahui bahawa musuh-musuh kita tidak mengingini kebaikan untuk kita dan seruan kebebasan yang menggegarkan perasaan kita tidak akan memberi faedah langsung. Kita telahpun lihat hasil dari seruan-seruan ini di Iraq dan kita telahpun lihat sejak berzaman di Palestin penderitaan yang ditanggung rakyatnya hasil pendudukan regim Israel yang direstui kerajaan Amerika.  

Kita menentang keras strategi Amerika yang berusaha memimpin dunia dan merubahnya supaya mengikut kehendaknya dan melalui slogan menentang keganasan sebenarnya digunakan ke atas pihak yang menentang Amerika dan dasar politiknya – telah melancarkan peperangan menentang umat Islam di Afghanistan dan Iraq, menjajah Negara mereka dan merampas hasil negara mereka dan mengizinkan rejim Zionis melakukan apa saja yang diingini di Palestin. Bagi Rejim Zionis mereka boleh melakukan kekejaman dan pembunuhan setiap hari..Pilihan yang digunakan oleh order baru dunia yang diterajui Amerika ini hampir menyamai pilihan dan tindakan musyrikin Quraisy dalam memerangi nabi saw pada malam Hijrah..Firman Allah:

“Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan daya upaya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu, atau mengusirmu. mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya”.
(Al-Anfal: 30)

   Di manakah pertolongan kalian terhadap saudara kalian para pejuang dan mujahidin? Sesungguhnya saudara kita di negeri-negeri Islam yang sedang menderita sangat memerlukan pertolongan dan pembelaan, bantuan dan sokongan kalian..Jumlah umat Islam yang kini menjangkau 1.5 bilion orang sebenarnya berkemampuan untuk berbuat demikian dengan izin Allah sekiranya mengikhlaskan niat menolong saudara-saudara kalian untuk mengubah realiti dan situasi yang mereka tanggung dan menuntut para musuh mereka menghormati suara, agama dan tanahair mereka.

Apakah tidak tergerak sensitiviti dan perasaan kita sedangkan kita telah lihat umat hijrah dan kemenangan telah meninggalkan pengalaman dan pengajaran yang manis buat kita. Padahal kita juga melihat Negara Israel menghayati makna hijrah bagi tujuan kebatilan dan memperolehi kemenangan untuknya..Sekarang orang Yahudi berhijrah ke negeri kita yang dirampas. Setengah mereka mengorbankan hartabenda yang disayangi sebagai pertolongan, bekalan dan bantuan di atas perkara kebatilan dan kezaliman.

Kita mulakan kembara kita dari sekarang dengan berhijrah daripada maksiat, mengisytiharkan taubat, berhijrah dari keseronokan dunia yang palsu kepada keimanan yang sepenuhnya, membangunkan rumahtangga kita di atas Islam, lelaki, perempuan, pemuda dan anak-anak sehingga Allah mengurniakan kemenangan kepada kita. Firman Allah:
“Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”. (Muhammad: 7)

Kita berdoa kepada Allah agar menerima doa untuk saudara kita yang lemah, yang ditindas dan dizalimi di seluruh pelosok dunia, di Palestin, Afghanistan, Kashmir dan Iraq. Justeru kemenangan akan tiba dan telah ada petandanya. Oleh itu kita mestilah bersedia dengan kembara hidup (berhijrah).

No comments:

Post a Comment

Kejutan hari ini

Petang ni mendapat kejutan hadiah dari Cikgu Amelia Suib, salah seorang pelanggan buku dan pengguna channel fizicmozac. Wow dapat telekong S...