Wednesday, 30 November 2011

Semai Benih-benih Syurga 2



Umat Islam secara umum sememangnya tahu dan mengerti malah sering diingatkan sama ada oleh ustaz, ibu bapa atau dalam kuliah-kuliah yang dihadiri bahawa amalan baik membawa ke syurga manakala perbuatan jahat mengheret ke neraka.


Setengah manusia yang hidup di dunia ini memikirkan bahawa syurga itu hanya boleh diraih dengan melakukan ibadat kepada Allah SWT  semata-mata seperti sembahyang lima waktu sehari semalam, puasa di bulan Ramadan, menunaikan zakat, mengerjakan haji, ke masjid untuk solat berjemaah, melakukan solat sunat tahajud, hajat, taubat dan lain-lain di keheningan malam.  Jangan disempitkan pemikiran anda dengan persoalan ini.  Islam itu agama yang sederhana dan mudah bagi pengikutnya.


Tetapi tahukah anda bahawa syurga Allah SWT itu boleh dicapai dengan melakukan aktiviti seharian, sebagai contoh dengan melaksanakan tugas-tugas seharian di pejabat, misalnya seorang pekerja yang membuat kerjanya dengan bersungguh-sungguh atau berusaha menyiapkan tugasan yang diberi oleh ketuanya akan diberi pahala oleh Allah SWT.  Begitu juga soal amanah yang diletakkan oleh majikan kepada pekerja , mestilah ditunaikan sama ada amanah dalam menjalankan tugasan, mahu pun amanah dalam menyimpan rahsia, atau pun amanah dengan tidak mencuri tulang di pejabat.


Selain daripada itu, hubungan sesama teman-teman di pejabat juga berupaya memberikan pahala kepada kita.  Sebagai contoh, bersangka baik di kalangan teman sepejabat, menolong sahabat yang sedang dalam kesulitan, menjauhi hasad dengki dan iri hati, elakkan mengumpat dan saling menjatuhkan sesama kawan.


Contoh di atas adalah bagi saudara yang bekerja di pejabat.  Bagaimana jika saudara tiada di pejabat?  Saudara hanya seorang pekebun atau peladang.  Bagaimana hendak meraih syurga Allah SWT ini? Bagi seorang pekebun yang pergi ke kebunnya setiap pagi sambil melihat dan mengagumi ciptaan Allah SWT akan beroleh pahala.  Misalnya pekebun ini melihat sebiji benih keras yang ditanamnya sudah pun mengeluarkan tunas.  Pekebun ini akan mula berfikir bagaimana satu tunas yang lembut boleh menembusi satu benih yang keras?  Itulah kehebatan ciptaan Allah SWT dan pekebun ini akan mengucapkan subhanallah, Maha Suci Allah yang telah menciptakan sekecil-kecil benih yang keras boleh ditembusi oleh tunas yang lembut.


Jika anda seorang anak, maka berbakti kepada kedua ibu bapa juga dikira sebagai pahala yang tentunya membawa ke syurga.  Berbakti kepada ibu bapa sangat luas pengertiannya.  Ianya termasuk taat dengan suruhan mereka, mendengar kata, tidak menderhaka, berusaha menggembirakan mereka dan sebagainya.


Bagi seorang isteri pula, taat dan patuh pada perintah suami bakal beroleh ganjaran pahala yang juga sebagai amalan ke syurga.  Seorang isteri yang senyum ketika suaminya pulang ke rumah dikira pahala, membawa segelas air untuk suami bagi menghilangkan dahaga dicatit sebagai pahala, menggembirakan suami dikira pahala, menjaga maruah dan kehormatannya juga dikira sebagai pahala.


Sangat mudah rupanya untuk meraih syurga Allah SWT.  Mengapa manusia di akhir zaman ini tidak mahu berlumba-lumba membuat amal bagi merebut syurga ini?  Kurang terujakah kita untuk masuk syurga?  Atau kita lebih minat masuk neraka? Akan tetapi sanggupkah kita dengan seksaan di neraka kelak, sedangkan untuk masuk ke syurga itu tidak sesulit mana tetapi apa yang penting adalah berusaha membaiki diri dan menambah amalan ke sana.


Ibnu Abas r.a berkata,
"Syurga mempunyai 8 pintu dari emas yang bertatahkan permata."
Pintu pertama tertulis Laa ilaaha illallaahu Muhammadur Rasulullah.  Ini adalah pintu masuk bagi para nabi, mereka yang mati syahid dan orang dermawan.
Pintu kedua adalah pintu masuk bagi orang-orang yang mengerjakan solat dengan sempurna dan menjaga wuduknya.
Pintu ketiga adalah pintu masuk bagi orang-orang yang mengeluarkan zakat bagi hartanya.
Pintu keempat adalah pintu masuk bagi orang yang menyuruh berbuat kebaikan dan melarang perbuatan mungkar.
Pintu kelima adalah pintu masuk bagi orang-orang yang menahan diri dari mengikuti nafsu syahwatnya.
Pintu keenam pula ialah pintu masuk bagi orang-orang yang mengerjakan haji dan umrah.
Manakalah pintu ketujuh ialah pintu masuk bagi orang-orang yang berjuang di jalan Allah SWT.
Dan akhirnya ialah pintu bagi orang-orang yang memejamkan matanya dari segala macam perkara yang haram, mereka yang mengerjakan kebaikan dan berbuat baik kepada kedua orang tuanya serta menjalinkan silaturahim."




Rasulullah SAW sewaktu di Israkkan ke langit telah diperlihatkan kepada baginda segala macam isi syurga sebagaimana sabdanya.
"Pada malam daku di Israkkan ke langit , telah ditunjukkan kepadaku segala macam syurga, maka daku lihat 4 jenis telaga iaitu telaga air, susu, arak dan madu yang jernih."


Allah SWt berfirman yang bermaksud
"Hai Muhammad, barang siapa dari umatmu yang berzikir kepadaKu dengan beberapa nama ini , maka Aku akan beri minum dari telaga-telaga ini."


Di dalam sebuah hadis telah diriwayatkan bahawa baginda SAW bersabda.
"Sesungguhnya Allah SWT setelah menciptakan syurga 'Adnin telah memanggil Malaikat Jibrail as dan berfirman kepadanya, "Pergilah engkau dan lihatlah apa-apa yang telah Aku ciptakan untuk para hambaKu dan waliKu."


Jibrail a.s pun pergi dan mengeliling syurga 'Adnin itu.  Didapati oleh Jibrail a.s ada seorang bidadari yang cantik rupawan keluar dari sebuah istana datang mendekatinya dan tersenyum simpul kepadanya.  Serta merta syurga itu menjadi terang benderang oleh sebab pengaruh kerana dia fikir bahawa sinar itu adalah dari cahaya Allah SWT.


Bidadari itu kemudiannya berseru; "Hai Jibrail as malaikat kepercayaan Allah , angkatlah kepalamu."
Jibrail a.s pun mengangkat kepalanya dan memandang bidadari itu seraya berkata dnegan kagum, " Maha suci Allah yang telah menciptakan engkau wahai bidadari."  
Berkatalah bidadari itu, "Hai Jibrail, malaikat kepercayaan Allah tahukah engkau untuk siapalah aku diciptakan?"  Tanya Jibrail a.s "Untuk siapakah engkau diciptakan?" Demikianlah secara ringkasnya gambaran syurga yang sempat dicatatkan.  Mudah-mudahan kisah-kisah ini mampu mendorong umat Islam supaya berlumba-lumba membuat amal dan mencari keredhaan Allah SWT agar kita diberi kesempatan masuk syurga kelak.


Nukilan:
Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat.



No comments:

Post a Comment

Kejutan hari ini

Petang ni mendapat kejutan hadiah dari Cikgu Amelia Suib, salah seorang pelanggan buku dan pengguna channel fizicmozac. Wow dapat telekong S...