Di bahagian satu artikel ini saya ada membincangkan dan melontarkan kegusaran terhadap ‘trend’ terkini kalangan adik-adik muslimah yang lebih cenderung berlumba-lumba menjuarai perihal kecantikan dan kejelitaan seakan-akan wanita di lahirkan sekadar untuk mengkomersialkan diri di khalayak ramai.
Di bahagian dua ini yakni bahagian terakhir kita akan membincangkan dengan lebih mendalam tentang keindahan Islam yang datang membebaskan manusia daripada penghambaan kepada selain Allah sekaligus mencorak wanita menjadi seindah-indah ciptaan lantas menidakkan pengklonan imej muslimah ideal yang cuba dicelup oleh media baharu.
Agama Pembebasan
Di masa Arab Jahiliyah, misalnya, wanita tidak begitu dianggap sebagai siapa-siapa selain “mesin reproduksi”. Sebagian besar orang Arab bahkan merasa anak perempuan sebagai beban dan aib. Maka, muncullah tradisi mengubur anak perempuan hidup-hidup. Di masa Yunani, posisi wanita juga tidak lebih baik. Para ahli falsafah bahkan saling berdebat apakah wanita memiliki jiwa atau tidak.
Namun setelah kedatangan Islam, wanita telah diletakkan di tempat yang tinggi sekali. Hak wanita di berikan sewajarnya bahkan apabila seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW “Kepada siapa harus aku berbakti?” Nabi SAW memberi jawapan “ibu” tiga kali sebelum jawapan itu bertukar kepada “ayah” yang mana mengisyaratkan ketinggian nilai wanita di dalam Islam.
Cantik
Syariat menutup aurat juga tidak lain tidak bukan adalah untuk menjaga kesucian nilai wanita. Malang sekali adik-adik, modernisasi bukan sahaja datang dengan kebaikan bahkan dengan ideologi yang menyimpang. Pakaian wanita Islam dimanupulasi dan dianggap sebagai satu bentuk penindasan terhadap wanita. Barat telah berjaya membuat kita percaya bahawa menutup aurat dengan sempurna lebih-lebih lagi jika yang mahu berpurdah atas kerelaan sendiri adalah satu tekanan agama kuno yang mahu menidakkan kewujudan wanita. Kata mereka, wanita hilang hak di dalam Islam.
Walhal kecantikan, bagi Islam adalah untuk ditutupi agar dilindungi daripada pandangan-pandangan yang berniat jahat dan yang boleh menimbulkan fitnah. Kecantikan juga hanya untuk diperlihatkan kepada yang layak bukan untuk pameran umum. Liciknya manipulasi Barat, sehingga membuat kita percaya, ‘penelanjangan’ dan eksploitasi kecantikan secara besar-besaran adalah satu tindakan eksperiasi terhadap wanita. Mana mungkin begitu jika penonjolan sebegini hanya membangkitkan nafsu syahwat lelaki lantas membahayakan kaum wanita itu sendiri.
Tapi kita leka, kita mahu dipuja, kita mahu megah dipuncak. Tertipu namun belum kita sedar. Apa yang melalaikan kita adik-adik? Tidak lain tidak bukan, pujian menggunung daripada rakan-rakan yang turut hanyut dan ralit daripada memahami meistimewaan kehormatan diri di dalam Islam.
Tambahan pula ada lelaki-lelaki yang memuji makin galaklah kita memperlihatkan perhiasan-perhiasan wanita. Lelaki yang rajin memuji pula adik-adik labelkan sebagai ‘sweet’ dan pandai mengambil hati padahal, mereka juga turut hanyut dalam menikmati dan menonton hiburan percuma bekalan wanita moden hari ini.
Sebab Leka
Ya, jika dikaji selidik, sebab utama kerana apa ideologi menyimpang ini rancak diterima pakai oleh wanita zaman moden, jawapannya adalah tidak lain tidak bukan kerana lelaki. Terlalu ramai lelaki yang jahil agama dalam memahami keistimewaan wanita dan tanggungjawab mereka dalam menjadi pelindung menjadi punca segalanya. Ini adalah kerana, apabila mereka secara kolektif memandang kecantikan wanita adalah berdasarkan keindahan luaran yang mampu di pamerkan di khalayak ramai dan sebanyak mana kulit mulus yang boleh di tangkap lensa mata, maka berlumba-lumbalah Muslimah yang lemah jiwa mengikutinya. Bahkan yang sudah bertudung, turut mencari-cari cara menyertainya.
Kesudahannya, iman tergadai prinsip tersadai.
Adik-adik yang disayangi, itu bukanlah lelaki-lelaki pelindung yang dicorakkan oleh Islam. Bukan. Selagi mereka tidak memartabatkan dan menjaga maruah adik-adik apatah lagi mencanang-canang gambar adik-adik bersama mereka padahal belum mempunyai apa-apa hubungan halal, mereka juga turut terpalit dengan lumpur modernisasi olahan Barat atas nama ‘keindahan’.
Mengapa saya berkata begitu? Kerana Islam pernah menceritakan kisah lelaki pelindung di zaman Khalifah yang mungkin boleh kita sama-sama renungkan dan ambil iktibar.
Khalifah Mu’tashim
Tengoklah apa yang pernah dilakukan Khalifah Mu’tashim, tatkala seorang wanita di kota Ammunriah ( terletak antara Iraq Utara dan wilayah Syam) berteriak dan minta pertolongan karena kehormatannya dinodai oleh seorang pembesar Romawi, kemudian ia berteriak : " dimana engkau wahai Mu’tashim, ?" Maka tak lama setelah berita teriakan wanita itu sampai ke telinga Mu’tashim, beliau segera mengerahkan bantuan dan memenuhi panggilan itu dengan mengerahkan pasukan kaum Muslimin yang ujung barisannya berada di Kota Ammuriah, sedangkan ekornya berada di Kota Baghad. Ya, seramai itu untuk menyelamatkan seorang wanita!
Dengan pasukan ini bangsa Romawi diperangi dan dengan dikalahkan dengan mudah. Kekuatan mereka dapat dipatahkan dan Kota Ammuriah ditakluki. Jumlah korban dari pihak musuh mencapai 30.000 orang dan jumlah orang yang ditawan juga 30 000 orang.
Bolehkah adik-adik bayangkan demikianlah, hanya untuk membela dan melindungi seorang wanita saja, Khalifah Mu’tasim telah mengerahkan demikian banyak pasukan, dan bahkan menaklukkan bangsa Romawi yang telah melanggar kehormatan umat Islam.
Itu barulah yang dinamakan lelaki pelindung wanita celupan Islam! Bukannya menambah pencabulan terhadap kehormatan seorang wanita.
Penutup
Adik-adik, dunia ini ibarat satu persinggahan sebelum ke tempat yang lebih hakiki yakni di akhirat sana. Tak mahukah kita menjadi ketua bidadari syurga? Jika jawapannya ya, mungkin sudah tiba masanya kita meminggirkan idelogi remeh picisan bawaan modernisasi dan Barat dalam membentuk diri kita. Ambillah Islam sebagai garis panduan dan jadikan Al-Quran sebagai teman, nescaya, kita akan menjadi wanita paling indah; seindah hikayat bidadari syurga. Selamat beramal!
No comments:
Post a Comment