Saturday, 31 December 2011

Tahun 2012 - Tahun Peperiksaan



Alamak, sudah tahun baru! Alamak! Tahun ini ada peperiksaan besarlah! Bagi yang di bangku sekolah, peperiksaan SPM, PMR dan UPSR bakal menghantui pada tahun ini. Bagi yang di tahun akhir di matrikulasi dan universiti, pastinya gred untuk semester akhir sangat berharga untuk dipersia-siakan. ‘Ala… awal tahun lagi kan. Lambat lagilah nak exam. Rilekslah kawan.’ Err, betul ke konsep tu?


Persiapan dari awal sangat penting. Orang kata, sediakan payung sebelum hujan. Jangan tunggu sehingga saat-saat terakhir. Kita tidak tahu apa yang menanti kita pada saat-saat peperiksaan hampir tiba. Mungkin kita jatuh sakit atau sebagainya yang mungkin menyebabkan kita tidak boleh menumpukan perhatian kepada pelajaran pada saat-saat akhir. Sebab itulah penting untuk membuat persediaan awal.
Nota ringkas
Penting! Pastikan masing-masing ada ‘killer notes’ atau nota maut sendiri. Ini memastikan anda boleh mengulangkaji di mana saja anda berada dan pada bila-bila masa terluang, masa menunggu bas sekolah, masa cikgu tidak dapat masuk ke kelas, masa menunggu giliran untuk mandi di asrama dan sebagainya. Memudahkan bukan? Nota maut ini juga amat berharga dan berguna untuk mengulangkaji di saat-saat akhir menjelang peperiksaan. Ia dapat mengurangkan perasaan gemuruh kerana kurang jumlah buku atau helaian muka surat yang perlu dibaca di saat-saat akhir. Tidak perlu tebal-tebal atau besar, cukup sekadar kad-kad kecil yang mengandungi fakta-fakta penting dan kata-kata kunci bagi setiap topik. Bawalah ke mana sahaja supaya mudah anda mengulangkkaji di waktu terluang yang tidak di sangka-sangka.

Latih tubi
Lagi, lagi dan lagi! Buatlah sekerap yang boleh, orang kata kalau boleh ‘sampai muntah’. Buatlah sehingga anda rasa anda sudah sangat ‘familiar’ dengan konsep dan penyelesaian bagi soalan-soalan latihan yang anda buat. Ya saya akui, hendak beli buku latihan banyak-banyak pun mahal. Apa kata anda berpakat dengan rakan-rakan anda, seorang beli sedikit dan boleh berkongsi untuk beberapa orang. Kurang juga bebannya bukan?
Soalan tahun-tahun lepas
Untuk SPM, PMR dan UPSR, banyak buku soalan peperiksaan sebenar tahun-tahun lepas yang dijual di pasaran. Pastikan adik-adik mendapatkannya dan menjawab soalan-soalan tersebut. Tapi, jangan mengelat ya, buat mengikut tempoh masa yang diberikan sama seperti peperiksaan sebenar. Latihlah diri untuk mendapat ‘feel’ peperiksaan sebenar dengan menjawab soalan tahun-tahun lepas seperti adik-adik benar-benar sedang menduduki peperiksaan tersebut. Jangan tengok jawapan sebelum menjawab ya!

Bertanya dan berbincang
Jika tidak mahir tentang sesuatu topik, bertanya dan berbincanglah dengan rakan-rakan atau guru. Buat ‘study group’ dan rancang jadual untuk topik-topik yang ingin dibincangkan. Buat pembentangan tajuk sesama ahli kumpulan untuk lebih menguatkan ingatan terhadap tajuk tersebut. Pastikan anda tahu topik-topik penting manakah yang anda lemah, dan cuba menguasainya sebelum peperiksaan tiba.

Solat dan doa
Ilmu itu datang daripada Allah, maka kepadaNyalah kita harus memohon dan berdoa semoga ilmu yang dipelajari akan lekat di ingatan. Buatlah solat hajat dan jangan putus-putus berdoa. Doalah semoga hati ditenangkan dan fikiran dilancarkan semasa menjawab soalan peperiksaan. Doalah semoga dijauhi daripada melakukan kesilapan seperti tersalah membaca soalan dah dihindari daripada ‘thought block’. Jaga amalan-amalan fardu, perbanyakkan amalan-amalan sunat dan jauhi daripada maksiat dan dosa. Sesungguhnya, amalan-amalan kita akan mempengaruhi keberkatan ilmu yang kita pelajari.
Hubungan dan keberkatan
Jangan diambil remeh isu keberkatan ya. Jaga hubungan dengan guru-guru yang mencurahkan ilmu kepada kita. Sekali mereka berkecil hati, mungkin terdetik perasaan tidak memberkati ilmu yang diberi walaupun adakalanya tidak disengajakan. Mohon restu ibu bapa, mohonlah maaf atas segala kesalahan dan kesilapan. Begitu juga dengan rakan-rakan. Maafkan juga kesalahan orang lain kerana ia dapat memberikan ketenangan kepada diri kita kerana jauh daripada perasaan dendam dan kecil hati.
Jangan terlampau yakin, tapi jangan terlampau takut juga. Berusaha, berusaha dan berusaha. Kemudian berdoa dan bertawakallah atas usaha yang telah dicurahkan. Semoga keringat yang dikerah bakal membuahkan hasil yang diinginkan.

No comments:

Post a Comment

Kejutan hari ini

Petang ni mendapat kejutan hadiah dari Cikgu Amelia Suib, salah seorang pelanggan buku dan pengguna channel fizicmozac. Wow dapat telekong S...