Saturday, 17 December 2011
Impian Yang Mesti Dicapai
Suatu hari kita menjamah makanan yang sangat lazat, keenakkanya membuatkan hati ini seolah-olah berkata ingin dimakan kesemuanya. Meja yang besar cuba dipenuhi. Namun perut yang kecil menjadi penghalang. Selesai sahaja kita makan, perut sudah mula memulas, nafas semakin lelah. Bahkan perut yang penuh tidak membuatkan kita teruja untuk menyuap lagi hidangan walaupun dijamu menu yang lebih menyelerakan. Bukan tdak sedap, tetapi itulah dinamakan resmi perut...bila lapar semuanya manis, bila kenyang semuanya pahit.
Bagaimana pula denga pelaku maksiat. Bermula dengan rokok, kemudian arak, berjudi, ke disko dan akhirnya terjerebak ke kancah penzinaan. Semua jenis wanita sudah dia gauli. Dari yang berkulit sawo matang, kuning langsat, hinggalah ke hitam berkilat. Lalu akhirnya jika ditanya kepadanya, 'Apa lagi yang ia mahukan? Adakah tidak merasa bosan. Bukankah klimaks segala maksiat sudah dicapai 'KPI' nya?
SYURGA DI DEPAN MATA?
Inilah realiti dunia. Ada awal, ada juga kesudahannya. Kesimpulannya, anda sama sekali tidak akan mendapatkan kebahagiaan di dunia daripada awal hingga akhir kecuali kesudahan yang mencacatkan!
Jika kia inginkan kebahagiaan tanpa kebosanan carilah di syurga. Namun ramai yang tidak mencarinya hanya kerana ia tidak nampak di hadapan mata. Berapa ramai yang berimaginasi rumah idaman, kereta impian, anak dan keturunan. Namun jarang orang berfikir tentang istana syurga masa hadapan.
Nabi s.a.w. bersabda dalam sebuah hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh al-bukhari dan Muslim yang bermaksud: "Allah berfirman,"Aku telah mempersiapkan syurga bagi hamba-hambaKu yang soleh apa yang mata belum melihat, telinga belum mendengar dan tidak terdetik dalam hati manusia."
Syurga itu sudah dipersiapkan sejak suatu zaman. Hadis ini telah diucapkan sejak seribu empat ratus tahun yang lalu, dan sejak masa itu telah menggunakan kata kerja masa lalu. Mengapa demikian?
Ini kerana Allah sudah bersiap daripada awal untuk menyambut tetamuNya. Sama seperti bersemangatnya seorang ibu menyiapkan kamar indah dan makanan yang enak untuk menyambut kepulangan anaknya ke tanah air setelah bertahun di luar negara.
Dalam riwayat Turmizi dan Ahmad, sahabat bertanya kepada Nabi s.a.w. :"Wahai Rasulullah, ceritakan kepada kami bangunan di dalam syurga." Nabi s.a.w menjawab: "Batu batanya daripada emas dan perak, manakala tanah liatnya daripada kasturi yang amat wangi."
INDAHNYA SYURGA
Gambaran keindahan syurga membuatkan penghuninya menjadi begitu sibuk. Tetapi bukan sibuk seperti kesibukan dunia. Hakikatnya sibuk di sana adalah sibuk menikmati nikmat syurga sehingga terlupa sesiapa sahaja. Firman Allah dalam surah Yassin ayat 55: "Sesungguhnya penghuni syurga pada hari itu bersenang-senang dalam kesibukan (mereka)"
Bahkan bagi sang pencinta wanita pasti terkesima dengan janji bidadari bagaikan tidak termimpi. Manakan tidak...sekaya mana harta melimpah, mahupun sekacak mana kita di dunia, belum tentu ayat manis kita mampu memikat Ratu Cantik Dunia. Namun jika poket yang kosong tetapi berbekalkan iman yang tebal pasti boleh menemukan kita dengan bidadari syurga. Firman Allah di dalam surah al-Waqiah ayat 36-37 : "Dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan. Penuh cinta lagi sebaya umurnya."
Para ulama memberi penafsiran bahawa 'sebaya umurnya' bermaksud umurnya sekitar enam belas tahun. Manakala 'penuh cinta' itu bermaksud si bidadari bijak mengambil hati suaminya. Hingga berkata Ibn Qayyim al-Jauziyyah suaminya akan terbuai dengan kata cintanya hingga dia lupa pada syurga dan terus hatinya terpaut kuat pada isterinya.
MEREALISASIKAN IMPIAN
Wahai anak muda. Sesuatu yang memasakkan hati dan mengendurkan maksiat ialah dengan me'mimpi'kan syurga. Jika tidak mampu melawan maksiat, maka bayangkanlah syurga. Lalu katakan pada diri kita. "Apakah aku akan rela kehilangan syurga?" Syurga yang luasnya seluas langit dan bumi hilang dek kerana hanya maksiat selama sejam? Bukankah sedetik nikmat di syurga lebih indah dari dunia dan seiisinya. Dalam riwayat Muslim dan Ahmad, Nabi s.a.w bersabda: "Pada hari kiamat didatangkan manusia yang paling bahagia di dunia. Kemudian dia dicelup sedetik ke dalam neraka dan ditanya kepadanya:'Pernahkan kamu melihat kenikmatan di dunia?" Dia menjawab, 'Tidak, aku belum pernah melihat kenikamatan sama sekali.' Kemudian didatangkan manusia yang paling sengsara di dunia. Lalu dia dicelup sedetik ke dalam syurga dan ditanya kepadanya: 'Pernahkah kamu melihat kesengsaraan di dunia?' Dia menjawab, "Tidak, demi Allah aku sama sekali belum pernah melihat kesengsaraan."
Masya-Allah. Dengan sedetik celupan di akhirat melupakan bertahun lamanya pengalaman hidup di dunia. Betapa agung nikmat Allah pada hamba-hambaNya yang bermatlamatkan akhirat. Andai ianya cita-cita maka untunglah selamanya. Beginikah Allah menggambarkan syurga? Adakah seindah itu istana takhtanya? Adakah kekasihku di dunia setara bidadariNya? Jawapan yang pasti sudah tentu tidak. Namun, persoalannya adakah mata kasar kita dapat membayangkan keindahan syurga? Percayalah, sekiranya kita masih dapat membayangkan syurga, maka itu bukanlah syurga sebenarnya. Kerana hakikat syurga ialah suatu yang tidak tergambar di mata, tidak terdengar di telinga dan tidak terdetik di hati. Ya Allah....saksikanlah bahawa aku sedang angaukan syurga!
Imam Muda Asyraf
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Kejutan hari ini
Petang ni mendapat kejutan hadiah dari Cikgu Amelia Suib, salah seorang pelanggan buku dan pengguna channel fizicmozac. Wow dapat telekong S...
-
Islam adalah agama Allah. Justeru itu semua prinsip dan ciri-ciri asasnya ditetapkan oleh Allah. Prinsip dan ciri-ciri ini tidak berub...
-
Bekalan terbaik ialah ketakwaan kepada Allah dalam hidup kita. Rasa takwa kepada Allah. Tak lekang dari bibir kita dengan sentiasa berdoa p...
-
Petang ni mendapat kejutan hadiah dari Cikgu Amelia Suib, salah seorang pelanggan buku dan pengguna channel fizicmozac. Wow dapat telekong S...
No comments:
Post a Comment