Monday, 5 December 2011

RAHSIA DAN KEAJAIBAN SOLAT SUBUH

Imam Malik dalam al-Muwatta' meriwayatkan pada satu hari Umar al-Khattab r.a. telah mendapati Sulaiman bin Abi Hathmah tidak hadir untuk solat Subuh berjemaah.  Pada pagi itu juga, Umar al-Khattab pergi ke rumah sahabatnya itu lalu bertanya kepada ibunya; al-Shifa':  "Saya tidak melihat Sulaiman semasa solat Subuh?"  Lalu al-Shifa' menjawab:"Dia solat malam lalu tertidur pada pagi harinya."  Umar kemudian berkata: "Sungguh, berjemaah dalam solat Subuh itu lebih baik bagiku daripada solat malam."

Teladan daripada Salafussoleh
       Begitlah prihatinya Sayidina Umar tentang solat Subuh berjemaah.  Malah ketika beliau parah ditikam oleh Abu Lu'lu'ah dan keadaannya sangat kritikal sekalli, namun solat Subuhnya tidak sekali-kali diabaikan.  Ketika dikejutkan oleh al-Miswar bin Makhramah untuk solat Subuh, beliau berkata: "Ya, tidak akan mendapat keuntungan dalam Islam bagi merekayang meninggalkan solat."  Padahal diriwayatkan pada waktu itu darah segar masih mengalir keluar dari luanya.
     Bukan sahaja beliau, para sahabat beliau, para sahabat Rasulullah s.a.w. dan umumnya para salafussoleh juga sangat mengambil berat tentang solat Subuh berjemaah.  Sudah menjadi tradisi dalam kehidupan para muqarrabin ini, menjadikan solat Subuh berjemaah sebagai penanda aras bagi keteguhan agama seseorang individu.  Abdullah bin Umar berkata: "Apabila ada seseorang yang tidak turut solat Subuh berjemaah, ini membuatkan kami berprasangka buruk padanya.  Boleh jadi ada sesuatu yang menimpa diri dan agamanya."
     Waktu subuh mempunyai keistimewaannya tersendiri khususnya yang dikaitkan denga pelaksanaan solat Subuh.  Justeru, waktu itulah yang dipilih oleh para sahbat Rasulullah s.a.w. untuk melaksanakan agenda-agenda penting dalam kehidupan sama ada untuk diri mereka secara peribadi atau untuk mummah.  Khalid al-Walid tidak akan memulakan perang kecuali sebaik selesai solat Subuh.  Langkah beliau diikuti oleh panglima-panglima perang Islam kemudiannya.
     Seorang panglima perang Muslim; Yusuf vin Tashifin tidak memulai perang al-Zilaqah yang terkenal itu kecuali setelah solat Subuh berjemaah dengan bala tenteranya.  Panglima Qutuz, wira Islam yang menyekat kemaraan tentera Monggol dalam Perang 'Ain Jalut itu pun memulakan peperangan selepas solat Subuh berjemaah dengan tenteranya.  Salehuddin al-Ayubbi mendisiplinkan tenteranya agar istiqamah untuk solat berjemaah di masjid dan itu menjadi ukuran dalam menyusun barisan tenteranya di medan perang.
     Begitu juga Sultan Muhammad al-fatih (raja yang baik), pembebas kota Konstantinopel. Baginda begitu prihatin tentang solat berjemaah dirinya dan juga barisan tentera (tentera yang baik).  Inilah rahsia kemenangan Islam, yakni mendapat bantuan Allah apabila pejuang Islam mengutamakan apa yang Allah utamakan.
     Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: "Jika kamu menolong agama Allah, maka Dia pasti akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu." (Surah Muhammad ayat 7).
Waktu Subuh juga dipilih oleh para sahabat untuk pelantikan khalifah bagi memimpin umat Islam.  Sayidina Umar al-Khattab misalnya, dilantik menjadi pengganti Sayidina Abu Bakar selepas solat Subuh di masjid Nabawi.  Ini bermakna, sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. yang utama yakni golognan Ahl al-Hal wa al-'Aqd (dewan perwakilan yang paling tinggi) terdiri daripada mereka yang konsisten solat Subuh berjemaah di masjid.

Kemenangan Bagi yang Melaksanakan
     Jika ingin mencapai kejayaan, hendaklah kita meneladani orang yang berjaya.  Ini prinsip dalam memburu kejayaan. Prinsip inilah yang dipatuhi oleh para sahabat Rasulullah s.a.w.  Mereka orang yang paling setia, istiqamah dan jujur dalam mengikut apa-apa sahaja yang dilakukan oleh Rasulullah khususnya dalam mengutamakan waktu subuh.  Dalam hidupnya, Rasulullah s.a.w. sangat mengutamakan keberkatan pada waktu Subuh.  Baginda telah berdoa, mafhumnya: "Ya Allah berkati umatku pada waktu pagi." Riwayat al-Tirmizi)
     Rasulullah s.a.w. memilih waktu awal pagi untuk menghantar utusan dakwahnya. Imam al-Tirmizi meriwayatkan daripada al-Nu'man in Muqarrin bahawa Rasulullah s.a.w. akan menunggu matahari terbit sebelum memulakan pertempuran.  Beliau menjelaskan:"Aku turut bertempur bersama Rasulullah.  Keitka fajar menyingsing, Baginda menahan paukannya sampi terbit matahari.  ketika sudah terbit, Baginda mengarahkan untuk bertempur."
     Dengan keberkatan waktu Subuh dan doa yang dipanjatkan selepas solat Subuh, itulah dua "tiupan kemenangan" yang membina keyakinan tentera Islam apabila berdepan dengan musuh-musuhnya.  Lihat apa yang terjadi dalam perang Badar; Anas bin Malik meriwayatkan:"Pada waktu perang Badar, Rasulullah s.a.w. solat Subuh pada awal fajar,  kedudukan Baginda pada saat itu sangat hampir dengan musuh. Lalu Baginda memerangi mereka." (Riwayat al-Nasa'i.)
     Justeru, Allah telah bersumpah dengan kuda-kuda yang digunakan dalam jihad di jalan Allah pada waktu Subuh.  Allah berfirman yang bermaksud: "Demi kuda perang yang berlari kencang dengan terengah-engah, dan kuda yang mencetuskan api dengan pukulan kuku kakinya dan kuda yang menyerang dengan tiba-tiba pada waktu subuh." (Surah al-'Adiyat ayat 1-3)
     Mengapa umat yang menjaga solat Subuh berjemaah dijanjikan kemenangan?  Ini kerana mereka telah berjaya menjalani tahap-tahap pentarbiahan, mujahadah (melawan hawa nafsu) dan ujian bagi memantapkan keimanan dan ketakwaan.  Iman dan takwa ditempa melalui ujian.  Allah s.w.t. "Adakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan sahaja mengatakan : 'Kami telah beriman', sedangkan mereka tidak diuji lagi?  Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesunggunya Dia mengetahui orang yang dusta." (Surah al-Ankabut ayat 2-3)

Kalahkan Musuh Batinmu
     Bukan mudah untuk bangun daripada tidur, bersuci dan kemudian bergerak menuju ke masjid bagi melaksanakan solat Subuh secara berjemaah.  Bayangkan, seseorang terpaksa berperang dengan hawa nafsu dan syaitan sejak awal-awal lagi bagi mematuhi perintah Allah.  Peperangan dalam diri itu diperjelaskan melalui hadis ini, yang bermaksud:"Syaitan melilit seorang antara kalian dengan tiga lilitan ketika dia tidur. Dengan setiap lilitan syaitan membisikkan: 'Nikmatilah malam yang panjang ini.'  Apabila dia bangun lalu mengingati Allah,  maka terlepaslah lilitan itu.  Apabila dia berwuduk, lepaslah lilitan yang kedua.  Kemudian apabila ia solat, lepaslah lilitan ketiga, sehingga dia menjadi bersemangat.  Tetapi kalau tidak, dia akan terbawa lembap dan malas." (Riwayat al-Bukahri dan Muslim)
     Justeru, Rasulullah s.a.w. menjadikan solat Subuh berjemaah sebagai penanda aras bagi membezakan tahap keimanan seseorang.  Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat Isyak dan solat Subuh.  Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung dalamnya, nescaya mereka akan mendatangi kedua-duanya sekalipun dengan merangkak.  Sungguh, aku ingin menyuruh melaksanakan solat, lalu solat itu ditegakkan, kemudian aku perintahkan seseorang mengimami solat bersama orang lain.  Kemudian beberapa orang lelaki berangkat bersamaku dengan membawa kayu terikat, mendatangi kaum yang tidak hadir solat berjemaah, sehingga aku bakar rumah mereka." (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
     Rasulullah s.a.w. sangat sayang akan umatnya.  Hadis tersebut menjelaskan betapa tingginya keinginan Baginda agar umatnya selamat daripada seksaan api neraka.  Sekiranya umat Islam dapat melihat dengan mata hati mereka ganjaran bagi mereka yang solat Subuh berjemaah, dan bencana yang bakal menimpa bagi sesiapa yang meninggalkannya, mereka akan bergerak ke masjid sekalipun terpaksa merangkak (tanpa menghiraukan keadaan mereka yang sakit, uzur atau sebagainya.)
     Sekarang kita telah jelas bahawa hanya orang yang berjaya mengalahkan musuh batinnya sahaja (syaitan dan hawa nafsu) akan diberi kekuatan dan bantuan oleh Allah bagi mengalahkan musuh zahirnya (Yahudi, Nasrani dan orang munafik)  Inilah kunci kejayaan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat Baginda serta para pejuang Islam terdahulu menewaskan musuh-musuh Islam.  Mana mungkin umat yang gagal mengangkat selimut untk bangun solat Subuh secara berjemaah mempunyai kemampuan uantuk mengerahkan tenaga dan seluruh upayanya untuk membangunkan Islam dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara?
     Ironinya, ramai dalam kalangan umat Islam pada hari ini begitu bersemangat membakar bendera Yahudi, bertempik-tempik mengutuk Israel, mengeluarkan pelbagai resolus dan memorandum untuk menyatakan kemarahan kepada pihak Zionis, tetapoi lemah dan tidak berdaya menzahirkan keseriusan mereka melaksanakan solat Subuh secara berjemaah.  Tindakan itu bukan sahaja kurang berkesan untuk menggerunkan musuh, malah tersasar daripada tertib perjuangan Islam seperti mana yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dan  para sahabat.
     Sepatutnya, agenda menggerakkan uma tIslam untuk melaksanakan Subuh secara berjemaah, kemudian berdoa beramai-ramai atau bersendirian dengan penuh rasa tawaduk, khusyuk, khauf (takut) dan raja' (harap), kepada Allah paa waktu dinihari dan awal pagi, lebih diutamakan daripada program-program yang lain.  Ya, tidak salah menyatakan kemarahan di hadapan musuh Islam dan dunia antarabangsa atas penzaliman mereka terhadadap saudara seagama, tetapi dahulukanlah pengaduan dan pengharapan kita kepada Allah Yang Esa.

Agenda Awal Pagi
     Ironinya, orang bukan Islam banyak memanfaatkan waktu awal pagi yang sangat optimum ini.  Para cendekiawan Islam yang tinggal atau bermusafir di negara-negara Barat melihat dengan mata kepala mereka sendiri bagaimana kehidupan telah bermula secaraaktif sebaik sahaja awal pagi bermula.  Dr Raghib al-Sirjani, penulis buku Misteri Solat Subuh menukilkan pemerhatiannya ketika berada di Amerika.  Beliau menulis:"Sewaktu di Amerika, sewaktu pergi dan pulang dari masjid setelah solat Subuh, sekitar jam enam pagi, di jalan-jalan utama telah dipenuhi kereta.  Mereka itu orang Krisgtian, Yahudi dan Ateis.  Jumlahnyat tidaksedikit.  Mereka bangun pagi untuk kehidupan dunia, bersamaan waktu solat Subuh.  Hajat kemanusiaan mampu mendorong mereka untuk bangun pagi.  Namun mengapa seorang Mukmin tidak mahu mengerah segenap potensinya iuntuk menyamai mereka bangun pada waktu pagi?"
     Pengalaman penulis ketika bermusafir di eberapa negara unat Islam di Timur Tengah mendapati hal sebalinya.  Kehidupan beku dan kaku seusai solat Subuh.  Kedai-kedai belum dibuka, lampu rumah masih tertutup, jalan raya masih sunyi, aktiviti ekonomi, sosial dan pendidikan masih belum bermula sebaik sahaja selepas waktu Subuh.  Ini realiti yang sangat menyedihkan.  Manakala di taman-taman kediaman yang majoritinya umat Islam di negara kita (terutamanya pada hari cuti hujung minggu), keadaan yang sama boleh dilihat.  Jumlah umat Islam yang bergerak menuju ke masjid untuk solat Subuh berjemaah sangat sedikit berbanding jumlah orang bukan Islam yang bangun awal dan berpusu-pusu untuk berjoging, bersenam dan membawa anjing mereka berjalan-jalan pada awal pagi.
     Nampaknya semangat untuk bangun mengerjakan sola tSubuh berjemaah dalam diri umat Islam telah dikalahkan oleh semangat inginkan kesihatan, kekayaan dan keceriaan dalam hidup oleh orang bukan Islam.  Dr Raghib al-Sirjani menulis lagi:"Mereka (bukan Islam) bangun pagi-pagi supaya anjing mereka boleh dibawa berjalan bagi menghirup udara segar.  Bayangkan kerana cinta akan anjing, mendorong pemiliknya untuk bangun pagi, sedangkan cinta akan Allah tidak mendorong hambaNya untuk bangun pagi?"
     Realitinya, umat Islam kini semakin lupa tentang apa yang pernah dikatakan oleh Saydina Umar:"Hakikatnya kita tentera Islam dimenangkan Allah kerena dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera kafir, tetapi sekiranya kita turut berdosa sama dengan mereka, di manakah kekuatan kita?"







     


No comments:

Post a Comment

Kejutan hari ini

Petang ni mendapat kejutan hadiah dari Cikgu Amelia Suib, salah seorang pelanggan buku dan pengguna channel fizicmozac. Wow dapat telekong S...