Tuesday, 6 December 2011

IMPAK MAKSIAT YANG MAKSIMUM

                                    


“Dia baru balik dari kem PLKN (Program Latihan Khidmat Negara), kami dah lama tak jumpa, mungkin kami berpeluk sebab rindu, ustaz...”



Demikianlah pengakuan sepasang remaja yang dicekup Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP), seperti yang dipaparkan dalam sebuah akhbar tempatan beberapa bulan lalu. Mereka ditahan pada jam 3.20 pagi, di tepi pantai yang agak gelap dan jauh dari pandangan orang awam. Lagi pula ketika itu umat Islam sedang menuju penghujung bulan Ramadan.
“Kamu berkawan dengan dia terlalu lama sampai tujuh tahun, kenapa kamu tidak berkahwin dengan dia sahaja kalau kamu beri dia pegang badan kamu?” tanya seorang penguatkuasa.
“Saya tidak bagi dia pegang semua,” jawab si remaja perempuan.
Astaghfirullah... jahilnya remaja kita ini. Apa lagi yang nak diperkatakan? Sampai bila kita harus dicemeti dengan berita sebegini di dada-dada akhbar? Persoalan yang lebih pokok lagi, apalah nak jadi dengan generasi muda kita sekarang?
Cukup-cukuplah dengan statistik kelahiran anak luar nikah yang pernah saya ketengahkan dahulu. Penyelesaian kepada kemelut ini pun pernah kita syorkan. Namun, perbuatan mungkar dan maksiat masih terus-menerus berleluasa. Jika beginilah keadaannya, bagaimanakah Malaysia ingin menggapai Wawasan 2020 sedangkan salah satu pasak pentingnya iaitu pembangunan insan seolah-olah dipandang sebelah mata dan tidak menunjukkan sebarang kemajuan?
Sesungguhnya manusia yang hidup di atas muka bumi Tuhan ini mempunyai dua pilihan; taat atau maksiat. Orang yang taat adalah orang yang benar-benar memanfaatkan kesihatan dan masanya dengan beribadah kepada Tuhan dan meninggalkan semua larangan-Nya. Beruntunglah mereka kerana kelak mereka akan dikurniakan nikmat syurga yang belum pernah terlihat oleh mata, terdengar oleh telinga atau terlintas di hati, lantaran ketaatan mereka dalam berbuat baik kepada Allah.
Manakala ahli maksiat adalah orang yang tidak mahu tunduk kepada perintah dan larangan Allah, berbuat perkara mungkar dan maksiat sesuka hatinya sehingga terlupa betapa kecil dirinya untuk berbuat derhaka terhadap Allah yang Maha Besar. Dialah juga orang yang menjadi sandera syaitan di dunia ini yang menyesatkan manusia, antaranya melalui maksiat seperti arak, judi, hiburan dan seks.
Firman Allah (maksudnya):
“Hai orang-orang beriman sesungguhnya khamar, berjudi, berhala, menguji nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan, maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu moga kamu mendapat keuntungan.”
(Al-Maidah: 90)
Sepertimana yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-39 yang bersidang pada 21 September 1995, maksiat di segi bahasa bermaksud derhaka. Manakala di segi istilah, maksiat ialah perbuatan yang membawa dosa iaitu yang bertentangan dengan akidah, syariat dan ajaran Islam sama ada dengan melakukan larangan Allah dan Rasul atau meninggalkan suruhan Allah dan Rasul-Nya, dengan kata lain melakukan yang haram dan meninggalkan yang wajib. Perbuatan tersebut memberi kesan kepada kehidupan seseorang dalam akidah, syariat ataupun akhlak.
Muzakarah tersebut juga telah memutuskan bahawa jenis-jenis maksiat terbahagi kepada dua; pertama, maksiat kepada Allah dan Rasul iaitu meninggalkan perintah-Nya dan melakukan larangan-Nya. Dan kedua, maksiat terhadap makhluk iaitu maksiat terhadap manusia, maksiat terhadap haiwan dan alam sekitar dan maksiat terhadap harta awam. Sesungguhnya maksiat dalam apa jua bentuk sama ada kepada Allah dan Rasul, kepada manusia dan makhluk boleh merosakkan agama, iman, akhlak, kemuliaan diri dan kesejahteraan induvidu, keluarga, masyarakat, negara dan umat.
Bahagiakah orang yang berbuat maksiat? Semaksimum manakah pula impak maksiat terhadap mereka yang menjadi "penderhaka" ini?
Menurut Ibnu Qayyim, orang-orang yang bergelumang dengan maksiat akan ditimpa pelbagai kesusahan. Antara lain dia akan terhalang daripada ilmu dan rezeki, berasa kesepian, kesulitan dan kegelapan, lemah hati dan badan, terhalang daripada ketaatan, terhapus keberkatan, hina di mata Allah, rosak akalnya, lemah tekadnya, terkunci hatinya, padamnya cahaya cemburu, hilangnya rasa malu, lenyapnya nikmat, datangnya petaka, rasa takut, gentar, gelisah dan buta hati serta datangnya pelbagai azab, bencana dan hidup di dunia, di dalam kubur dan di hari kiamat.
Jika kita telusuri kalam Allah, kita akan dapati "crook" terdahulu telah dibinasakan oleh Allah lantaran kemungkaran dan maksiat yang mereka lakukan serta pendustaan mereka terhadap segala ajaran yang pernah dibawa oleh rasul-rasul yang diutus kepada mereka. Lihatlah bagaimana kaum Nabi Nuh alaihissalam ditenggelamkan melalui bah besar yang menutupi puncak-puncak gunung. Lihatlah bagaimana angin taufan menghentam kaum ‘Ad (kaum Nabi Hud alaihissalam) dan membuatkan mereka mati bergelimpangan di atas tanah laksana batang-batang pohon kurma yang tumbang. Lihatlah bagaimana Allah mengirimkan teriakan keras kepada kaum Tsamud (kaum Nabi Salleh alaihissalam) sehingga memotong-motong jantung yang ada di dalam dada mereka dan membuat mereka mati dalam sekelip mata.
Lihatlah juga bagaimana kampung yang dihuni golongan homoseks (kaum Nabi Lut alaihissalam) diangkat ke atas lalu diterbalikkan 180 darjah dan dihunjamkan kembali ke dalam bumi, kemudian diikuti dengan hujan batu panas yang menimpa mereka. Kaum Syuaib alaihissalam dikirimkan awan azab yang mana setelah berada tepat di atas kepala mereka, tiba-tiba awan itu menghujani mereka dengan api yang menyala-nyala. Firaun dan kaumnya yang ingkar itu pula ditenggelamkan oleh Allah di tengah-tengah Laut Merah.
“Maka masing-masing (mereka itu) Kami seksa disebabkan dosanya, maka antara mereka ada yang Kami timpakan kepadanya hujan batu kerikil dan antara mereka ada yang ditimpa suara keras yang menguntur, antara mereka ada yang Kami benamkan ke dalam bumi, dan antara mereka ada yang Kami tenggelamkan; Allah sekali-kali tidak hendak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.”
(Al-Ankabut: 40)
Malah Allah telah menjanjikan neraka Wail bagi mereka yang masih berdegil dengan berterusan terjun ke dalam jurang maksiat. Seperti mana hadis daripada Abdullah bin Amru, Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam bersabda (yang bermaksud):
“Kasihanilah, nescaya kamu dikasihani. Berilah kemaafan (kepada orang lain), nescaya kamu diampunkan. Neraka Wail bagi orang yang bertelinga seperti corong air (tidak menghiraukan nasihat). Neraka Wail bagi orang yang berkekalan dalam perbuatan yang mereka lakukan sedangkan mereka mengetahui (akan dosanya).”
(Riwayat Ahmad)
Justeru, bertaubatlah kita daripada segala maksiat yang pernah dan sedang kita lakukan. Sesungguhnya hamba Allah yang terbaik adalah mereka yang sering memohon keampunan daripada-Nya. Malah, orang yang memohon keampunan dianggap tidak berterusan melakukan maksiat, sepertimana yang dinyatakan dalam hadis daripada Abu Bakar as-Siddiq radiallahuanhu, Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam bersabda (yang bermaksud):
“Orang yang memohon keampunan tidaklah dianggap berkekalan melakukan maksiat, sekalipun dia mengulanginya (maksiat) sebanyak 70 kali dalam sehari.”
(Riwayat at-Tirmizi)
Di samping itu, bersungguh-sungguhlah kita untuk terus mendidik diri agar tidak terus berbuat maksiat. Perkara ini memang tidak mudah, namun itulah harga syurga Allah. Jika kita teringat juga untuk melakukan maksiat kepada Allah, ingatlah enam pesanan Ibrahim bin Adham yang berikut, iaitu:
Apabila melakukan maksiat,
1. Dilarang makan rezeki yang Allah kurniakan. Sedangkan rezeki Allah melitupi langit dan bumi, layakkah kita melangggari suruhan-Nya?
2. Jangan menetap di negeri-Nya apabila teringin melakukan maksiat. Bagaimana hendak bermaksiat kepada-Nya, sedangkan langit dan bumi merupakan negeri-Nya dan di bawah kekuasaan pemerintahan-Nya?
3. Ingatlah bahawa Allah Maha Melihat, dan Dia tidak lalai daripada memerhatikan setiap gerakan dan tindakan ciptaan-Nya, hatta yang terlintas dalam hati sekalipun.
4. Apabila Malaikat Maut datang untuk mencabut nyawa, katakan kepadanya, "Tunggu sebentar, aku akan bertaubat!"
5. Apabila Malaikat Munkar dan Nakir datang, lawanlah mereka sedaya upaya mungkin. Itupun kalau terdaya.
6. Apabila sampai ke hadrat Ilahi dan Dia berfirman: "Masuklah ke dalam neraka." Katakanlah, "Wahai Tuhanku, aku tidak bersedia masuk ke dalam neraka."

No comments:

Post a Comment

Kejutan hari ini

Petang ni mendapat kejutan hadiah dari Cikgu Amelia Suib, salah seorang pelanggan buku dan pengguna channel fizicmozac. Wow dapat telekong S...