Segala apa yang Allah ciptakan mempunyai ukuran dan keseimbangan tertentu. Contohnya, manusia menghirup oksigen dan mengeluarkan karbon dioksida, sedangkan pokok-pokok memanfaatkan karbon dioksida dan mengeluarkan oksigen.
Di langit, Allah mencipta matahari dan cahaya matahari adalah penting bagi kehidupan di muka bumi. Walaubagaimanapun, sekiranya cahaya matahari tidak ditapis, ia mampu mendatangkan mudarat kepada hidupan ini. Justeru, Allah mencipta oxon di lapisan stratosfera melalui tindak balas cahaya matahari kepada oksigen. Ozon berperanan memelihara hidupan bumi daripada kesan negatif cahaya ultra ungu dengan cara menyerap gelombang sinaran matahari yang dikenali sebagai ultraviolet-B (UV-B). Lapisan ozon pula terpelihara melalui gas nitrogen. Gas ini mampu mengawal kadar konsentrasi ozon supaya sentiasa berada pada tahap yang stabil dan tidak memudaratkan. Nitrogen terhasil secara semula jadi di langit.
Allah menyatakan dalam surah al-A'la ayat 2 hingga 5,
"Dialah yang mencipta dan menyempurnakan penciptaannya. Dan dialah yang menetapkan kadar (masing-masing) dan memberi petunjuk. Dan dialah yang menjadikan rumput rampai lalu menjadikan rumput-rampai itu kering kehitam-hitaman".
Dalam penciptaannya, tidak ada satu makhluk pun yang dizalimi. Setiap makhluk mendapat haknya secara adil sebagai kurniaan daripada Allah. Allah menjelaskan dalam surah Hud ayat 6:
"Tidak ada seekor binatang pun yang melata di atas muka bumi melainkan Allah yang menentukan rezeki baginya dan Allah mengetahui tempat tinggal binatang itu (di dunia) dan tempat penyimpanannya (di akhirat). Semuanya tertulis dalam kitab yang nyata."
Justeru itu, binatang yang hidup di iklim panas diciptakan Allah dengan segala keperluan supaya ia dapat menyesuaikan diri dengan iklim itu. Contohnya, unta yang hidup di padang pasir mempunyai bonggol lemak di belakangnya dan bonggol ini menjadikan unta mampu bertahan di padang pasir tanpa air selama lebih kurang tiga minggu.
Unta juga dikurniakan dengan dua lapis kelopak mata yang berfungsi memelihara matanya daripada sebarang kerosakan terutamanya semasa berdepan dengan ribut pasir di gurun.
Subhanallah, semua ciptaan Allah ini menunjukkan kebijaksanaan Allah dan semoga dapat menambahkan lagi iman dan keyakinan di hati kita.
No comments:
Post a Comment