Saturday 17 December 2011

Apa Erti Saya Menganut Islam - di sudut Aqidah 3


Setiap orang Islam wajib beriman dengan nabi-nabi serta rasul yang diutus Allah di muka bumi ini.  
Allah menyatakan,
"Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan tetapi sesungguhnya kebaikan itu adalah beriman kepada Allah, hari kemudian, para malaikat, kitab-kitab serta nabi-nabi."  (Surah al-Baqarah: 177)


Umat Islam tidak diizinkan supaya membeza-bezakan darjat seorang rasul dengan rasul yang lain melainkan berdasarkan dalil yang jelas daripada Allah.
Allah menyatakan,
"Katakanlah kami beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan kepada kami dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub dan anak cucunya dan apa yang diberikan kepada Musa dan Isa dan apa yang diberikan kepada nabi-nabi daripada Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun di antara mereka dan kami hanya tunduk patuh kepadanya."  (surah al-Baqarah ayat 136)

Rasul-rasul diutus dengan tujuan membawa manusia kepada pengabdian kepada Allah serta menegakkan agamanya.  Secara dasarnya setiap umat mempunyai rasulnya.  Allah menyatakan, "Sesungguhnya kami mengutus kamu dengan membawa kebenaran sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan.  Dan tidak ada satu umat pun melainkan ada padanya seorang pemberi peringatan." (Surah Faathir ayat 24)

Rasul-rasul yang disebutkan dalam Quran yang wajib diimani berjumlah 25 orang.  Mereka adalah Nabi Adam, Idris, Nuh, Hud, Salih, Ibrahim, Luth, Ismail, Ishak, Yaakob, Yusuf, Ayub, Syuaib, Musa, Harun, Zulkifli, Daud, Sulaiman, Ilyas, Ilyasak, Yunus, Zakaria, Yahya, Isa dan Muhammad.

Rasul adalah Manusia Biasa
  • Rasul-rasul yang diutus Allah bukanlah daripada kalangan jin ataupun malaikat sebaliknya daripada kalangan manusia supaya segala ajaran yang dibawa oleh mereka adalah suatu yang praktikal dan dapat diterima oleh manusia secara amnya.  Manusia mudah mengikut perkara yang mempunyai contoh yang dapat dilihat.  Justeru itu, rasul-rasul dengan akhlak dan keperibadian mereka yang murni adalah contoh yang baik yang dapat dicontohi oleh manusia.  Allah menyatakan,  "Rasul-rasul mereka berkata mereka, 'Kami hanyalah manusia seperti kamu tetapi Allah memberi kurnia kepada siapa yang dikehendaki daripada kalangan hamba-hambanya." (Surah Ibrahim ayat 11)

  • Sebagai manusia biasa rasul-rasul makan, minum, tidur, bekerja, ditimpa kesakitan dan menghadapi maut seperti manusia lain.  Allah menyatakan, "Dan tidak kami utus rasul-rasul sebelum kamu melainkan mereka menjamah makanan dan berjalan di pasar-pasar." (Surah al-Furqan ayat 20).  
  • Rasul-rasul juga mempunyai keluarga serta beranak.  Allah menyatakan, "Dan sesungguhnya kami mengutus beberapa rasul sebelum kamu dan kami kurniakan kepada mereka isteri-isteri serta keturunan." (Surah ar-Ra'd ayat 38)
  • Rasul-rasul yang diutus Allah adalah daripada kalangan kaum lelaki.  Perkara ini tidak bertujuan menghina kaum wanita sebaliknya ia dilakukan kerana keperluan dan kebaikan memandangkan ia dilakukan kerana keperluan dan kebaikan memandangkan kerasulan adalah tanggungjawab yang berat dengan penderitaan dan ujian yang amat berat.  Ada beberapa orang rasul dibunuh oleh kaum mereka semasa sedang menyampaikan risalah Allah.  Allah menyatakan, "Dan tidak kami utus sebelum kamu melainkan golongan lelaki yang kami berikan wahyu kepadanya antara penduduk negeri." (Surah Yusuf ayat 109)
Para Rasul adalah Maksum
  • Maksum bermaksud tidak mengabaikan kewajipan yang dibebankan serta tidak melakukan perkara-perkara yang haram atau yang bertentangan dengan akhlak yang luhur.  Para rasul adalah maksum kerana mereka adalah makhluk pilihan Allah serta contoh terbaik bagi manusia.
  • Rasul-rasul bukannya golongan penipu dan pengkhianat sebaliknya mereka adalah golongan yang benar lagi beramanah.  Allah menyatakan, "Tidak selayaknya seorang nabi melakukan perkara khianat.  Sesiapa yang khianat maka pada Hari Kiamat ia akan datang membawa khianatnya itu." (Surah Ali Imran ayat 161)
  • Tujuan hidup para rasul adalah melaksanakan pengabdian kepada Allah.  Kerana itu mereka dipilih oleh Allah supaya memimpin umat manusia.  Allah menyatakan, "Kami menjadikan mereka sebagai pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah kami dan kami mewahyukan kepada mereka supaya mereka mengerjakan solat serta mengeluarkan zakat dan mereka hanya mengabdikan diri kepada kami." (Surah al-Anbiyak ayat 73)
Rasul Dikurniakan Mukjizat
  • Rasul-rasul yang diutus Allah diperkukuhkan dengan tanda-tanda tertentu sebagai bukti tambahan kebenaran mesej yang dibawa mereka.  Tanda-tanda ini dikenali sebagai mukjizat.
  • Mukjizat adalah perkara-perkara luar biasa yang berlaku dengan kehendak Allah melalui rasul-rasul yang diutus.
  • Mukjizat Nabi Ibrahim ialah api yang sepatutnya membakar menjadi dingin semasa beliau dilemparkan ke dalamnya.  Allah menyatakan, "Orang-orang kafir berkata,' Bakar Ibrahim dan selamatkan tuhan-tuhanmu jika kamu benar-benar hendak bertindak.' Selepas (Ibrahim) dimasukkan ke dalam api, kami menyatakan,"Wahai api, jadilah kami dingin dan sejahtera bagi Ibrahim." (Surah al-Anbiyak ayat 68-69)
  • Nabi Musa juga dikurniakan mukjizat daripada Allah.  Semasa beliau dan Bani Israel dikejar oleh Firaun serta tentera-tenteranya, Allah membelah lautan bagi dilalui oleh mereka.  Allah menyatakan, "Lalu kami wahyukan kepada Musa,"Hendaklah kamu pukulkan tongkat itu ke lautan."  Maka lautan itu pun terbelah dua bagaikan gunung yang besar." (Surah as-Syuarak ayat 63)
  • Nabi Muhammad juga dikurniakan dengan pelbagai mukjizat tetapi mukjizat yang paling agung yang dikurniakan Allah kepada beliau adalah kitab Quran.  Allah menyatakan,"Katakanlah, andai kata seluruh manusia dan jin berkumpul bagi membuat perkara yang serupa Quran ini, mereka tidak dapat membuat yang serupa dengan itu sekalipun sebahagian mereka mejadi pembantu kepada sebahagian yang lain." (Surah al-Israk ayat 88)
Rasul Ulul Azmi
  • Kesemua rasul adalah insan yang mulia.  Walau bagaimanapun dengan kehendak Allah, martabat sebahagian daripada mereka dilebihkan berbanding sebahagian yang lain.  Allah menyatakan, " Rasul-rasul itu kami lebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain.  Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya dan sebahagian yang lain Allah tinggikan mereka dengan beberapa darjat." (Surah al-Baqarah ayat 253)
  • Ulul azmi bermaksud teguh hati dan kuat azam demi mencapai cita-cita yang murni.  Jumlah rasul-rasul ulul azmi mengikut pendapat yang terkuat adalah lima orang iaitu Nabi Muhammad, Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa.
Nabi Muhammad Rasul Terakhir
  • Nabi Muhammad adalah rasul terakhir yang diutus Allah kepada manusia di muka bumi ini berdasarkan kenyataan Allah di dalam Quran, "Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapa daripada seorang lelaki di antara kamu, tetapi dia adalah pesuruh Allah dan penutup segala nabi-nabi.  Dan Allah maha mengetahui segala perkara." (Surah al-Ahzab ayat 40)
  • Nabi Muhammad berkata, "Perumpamaan aku dan nabi-nabi adalah seperti seseorang yang membina sebuah rumah. Dia sudah menyempurnakan pembinaannya dan juga memperindah bangunan itu melainkan di satu tempat yang tiada batu bata.  Setiap orang yang memasuki rumah itu berkata, "Alangkah indahnya rumah ini kecuali di tempat batu bata ini sahaja." Akulah tempat batu bata itu dan akulah penutup segala nabi."  (Hadis yang dilaporkan oleh Bukhari dan Muslim)
  • Risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad sesuai bagi setiap bangsa dan keturunan.  Justeru itu ia tidak diturunkan khusus bagi sesuatu bangsa atau kelompok tertentu.   Allah menyatakan, "Dan kami tidak mengutus kamu melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (Surah Sabak ayat 28)
  • Berbeza dengan Nabi Muhammad, rasul-rasul sebelum beliau diutus khusus kepada kaum-kaum tertentu.  Nabi Nuh diutus kepada kaumnya di Iraq, Nabi Syuaib di Madyan, Nabi Luth di Sodom, Nabi Salih kepada kaum Thamud dan Nabi Hud kepada kaum Ad.
  • Mentaati Nabi adalah dengan mengikut Sunah.  Keimanan kepada Nabi Muhammad tidak sempurna sekiranya sunah beliau ditolak.  Allah menyatakan, "Sesungguhnya Allah memberi kurniaan kepada orang-orang beriman semasa Allah mengutus di antara mereka seorang rasul daripada golongan mereka sendiri yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan jiwa mereka dan mengajarkan kepada mereka al-Kitab dan al-hikmah." (Surah Ali Imran ayat 164)  
  • Ayat ini menjelaskan, Allah mengutus nabinya supaya mengajar dua perkara penting kepada manusia. Pertama al-Kitab dan keduanya al-Hikmah.  Ini bermaksud Nabi Muhammad tidak hanya mengajar Quran kepada umat Islam, beliau juga mengajar al-Hikmah kepada mereka.  Sahabat-sahabat beliau bersepakat, dua perkara yang diajarkan nabi kepada mereka adalah Quran dan sunah.  al-Hikmah bermaksud sunah.
  • Sejarah menunjukkan tidak ada seorang tokoh Musim pun daripada generasi yang awal yang menolak sunah sebagai sumber hukum. Sunah pada masa itu tidak hanya dijadikan panduan oleh individu-individu malah ia adalah panduan dan rujukan di peringkah negara Islam terutamanya pada zaman pemerintahan Khulafa ar-Rashidin yang memakan masa lebih kurang 30 tahun.
  • Hadis ataupun sunah adalah perkara yang bersumber daripada Nabi Muhamma sama ada dalam bentuk perkataan beliau, perbuatan beliau atau persetujuan daripada beliau.




No comments:

Post a Comment

Kejutan hari ini

Petang ni mendapat kejutan hadiah dari Cikgu Amelia Suib, salah seorang pelanggan buku dan pengguna channel fizicmozac. Wow dapat telekong S...