Thursday 1 December 2011

Sistem Amal Yang Membawa kepada Keunggulan

Bagi menjadi satu umat yang super, pelbagai ramuan perlu dimanfaatkan.  Walau bagaimanapun secara dasarnya Quran mengutarakan dua ramuan sebagai ramuan asas menuju keunggulan.  Ramuan ini dapat disebutkan sebagai Ramuan I-A, I bermaksud Iman dan A bermaksud Amal Salih.  Kedua-dua ramuan ini diulang-ulangi di merata tempat dalam Quran.


            Berhubung dengan ini, dalam surah al-Baqarah ayat 25 Allah menyatakan yang bermaksud, “Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai”
            Dalam surah al-Baqarah ayat 82 Allah menyatakan yang bermaksud,”Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya.”
            Dalam surah al-Baqarah ayat 277 pula, Allah menyatakan yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mengerjakan sembahyang serta mengerluarkan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan ke atas mereka dan mereka pula tidak berdukacita.”
            Dalam surah Ali Imran ayat 57, Allah menegaskan “Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah menyempurnakan pahala bagi mereka.”
            Demikian juga dalam surah al-A’raf ayat 42, Allah menyatakan yang bermaksud, “Dan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, kami tidak memberati diri seseorang melainkan sekadar yang terdaya olehnya, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya.”
            Hal yang sama dinyatakan Allah dalam surah Yunus ayat 9 yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Tuhan mereka member petunjuk kepada mereka,” dan begitulah seterusnya.
            Amal soleh dalam Islam tidak dapat dilakukan secara semberono. Ia mempunyai sistemnya yang tersendiri berasaskan Quran dan sunah.
            Antara aspek yang wajib dilaksanakan oleh seluruh umat Islam adalah perlaksanaan ibadah yang terkandung dalam rukun Islam yang lima, berdasarkan kata Nabi Muhammad.  “Islam dibina di atas lima perkara: Mengucap dua kalimah syahadah, menunaikan sembahyang, mengeluarkan zakat, melaksanakan ibadah haji dan melakukan puasa Ramadan.” (Hadis yang dilaporkan oleh Bukhari dan Muslim).
            Amalan-amalan ini adalah latihan penting yang apabila dilakukan secara yang betul serta berkualiti, mampu melahirkan individu, keluarga dan masyarakat yang cemerlang.  Hal ini terbukti ke atas para sahabat nabi.  Mereka adalah generasi yang taat dengan perintah Allah dan mereka juga adalah golongan yang menggegarkan Empayar Rom dan Parsi serta dunia secara keseluruhannya, sedangkan sebelum Islam mereka tidak langsung dikenali.  Mereka menjadi hebat kerana mereka mendaulatkan ajaran Allah.  Mengikut sejarah, pada zaman Khalifah ar-Rasyidin (khalifah selepas Nabi Muhammad wafat) selepas wilayah-wilayah Rom dijajah, pembesar-pembesar Rom berbicara sesame sendiri dengan penuh kekaguman mengenai tentera-tentera Islam.  Antara komen mereka seperti yang dilaporkanoleh Ahmad bin Marwan al-Maliki di dalam kitab al-Mujalisah adalah “Mereka (tentera-tentera Islam) mendirikan solat di malam hari dan berpuasa di siang hari.  Mereka menepati janji, menyuruh orang melakukan kebaikan, melarang kejahatan dan membahagikan harta rampasan perang sama banyak di antara mereka.”

Inilah antara kekuatan yang ada pada para sahabat yang di reda Allah.  Apakah rahsia yang terdapat dalam rukun Islam yang lima sehingga mampu melahirkan suatu umat yang gilang gemilang seperti itu?  Bagaimana hal ini dapat berlaku?
            Secara dasarnya, latihan berbentuk kewajipan seperti terdapat dalam rukun Islam mengandungi ramuan yang mampu melahirkan satu umat yang super.  Sebagi contoh, berhubung dengan solat dlam surah al-Ankabut ayat 45, Allah menjelaskan, “Sesungguhnya solat dapat mencegah seseorang daripada perbuatan keji dan mungkar.”  Apabila peribdi unggul seperti ini dapat dibentuk melalui solat, keluarga dan masyarakat menjadi aman dan selamat.
            Berhubung dengan puasa, Allah menegaskan dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud, “Wahai mereka yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang sebelum kamu.  Semoga kamu bertakwa.”  Insan bertakwa yang dibentuk oleh puasa adalah insan yang hebat lagi beruntung.  Di dalam Tafsir Quran al-Azim, Imam Ibn Kathir berkata, “Sesiapa yang bertakwa kepada Allah dengan melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang, dia diberikan petunjuk sehingga dia mengenali hak dan batil.  Ini menjadi sebab musabab kepada kejayaan serta pelepasan dirinya daripada masalah di dunia serta sebab musabab kepada kebahagiaannya di akhirat.”
            Berhubung dengan zakat pula, Allah menyatakan di dalam surah at-Taubah ayat 103 yang bermaksud, “Ambil (sebahagian daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau bersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak yang buruk).”  Syeikh Hamka di dalam Tafsir al-Azhar berkata, “(Sedekah dan zakat) menyucikan jiwa umat Islam daripada tabiat loba, tamak, rakus dan bakhil.”
            Sudah pasti apabila sifat-sifat ini terhasil, umat Islam selayaknya menjadi pemimpin dunia seperti yang  berlaku sebelum ini.  Justeru, mari kita menganalisis rukun Islam yang lima ini supaya kita dapat mengenal pasti rahsia dan kekuatan yang terdapat di dalamnya.  Rahsia dan kekuatan ini merupakan rahsia dan kekuatan umat.

No comments:

Post a Comment

Kejutan hari ini

Petang ni mendapat kejutan hadiah dari Cikgu Amelia Suib, salah seorang pelanggan buku dan pengguna channel fizicmozac. Wow dapat telekong S...