KITA perlu sentiasa muhasabah kembali adakah setiap kali
kita membaca dan melintasi ayat-ayat Allah SWT yang berkisarkan tentang syurga
dan neraka, setiap kali itu juga adakah kita benar-benar faham dan menghayati
intipatinya. Allah SWT menceritakan perihal syurga dan neraka di dalam al-Quran
agar kita benar-benar memahami dan merasainya. Allah SWT menggambarkan syurga
bukan satu perkara yang sia-sia. Bahkan untuk kita bersemangat dan sentiasa
mentaatinya agar syurga menjadi milik kita.
Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman
menerusi segmen Ibrah yang bersiaran di IKIMfm pada hari Selasa, 5.15 petang
minggu lalu, meneruskan siri pengembaraan ibrah kisah ahli syurga. Kali ini,
Ustaz Syaari membawa kisah bagaimana ahli syurga diperlihatkan tentang perihal
ahli-ahli neraka dan berdialog sesama mereka.
Kisah ahli syurga berdialog bersama
ahli neraka ini diceritakan oleh Allah SWT menerusi Surah Al’-A’raaf, ayat 44
yang bermaksud: Dan (apabila ahli-ahli Syurga itu berada di tempat
masing-masing), berserulah mereka kepada ahli neraka dengan berkata:
“Sesungguhnya kami telah dapati apa yang telah dijanjikan kepada kami oleh
Tuhan kami, semuanya betul. Maka adakah kamu juga telah dapati apa yang telah
dijanjikan oleh Tuhan kamu itu semuanya betul?”. Mereka menjawab: “Benar ada”.
Kemudian berserulah penyeru (malaikat) di antara mereka (kedua-dua puak itu)
menyatakan: “Bahawa laknat Allah tertimpa ke atas orang-orang yang zalim”.
Apabila ahli syurga dipertontonkan mengenai keadaan di
dalam neraka, maka ahli syurga berkata kepada ahli neraka:
"Adakah kamu sudah rasai apa yang Tuhan kamu
telah janjikan?"
Ahli neraka bila ditanya oleh ahli syurga, mereka
menjawab sepatah saja, menggambarkan terlalu dasyhat keadaan di dalam
neraka. Di dunia dahulu mereka tidak
mahu mendengar, bahkan menghalang orang lain mendengar para rasul bercakap
pasal syurga. Sepatah perkataan
menggambarkan dahsyatnya keadaan neraka.
Malaikat mencelah untuk menyokong pernyataan ahli syurga. Laknat ke atas mereka. Sikap mereka dahulu
yang memilih untuk masuk neraka.
Sedang ahli syurga dan ahli neraka
saling berdialog sesama mereka, Allah SWT menceritakan, kisah ini ditonton oleh
segolongan manusia iaitu Ashab al-A’raaf yang belum lagi mengetahui nasib
mereka samada syurga mahupun neraka. Timbangan amalan mereka sama dan
menyebabkan mereka berada di tengah-tengah antara syurga dan neraka sambil
melihat ahli syurga dan neraka berdialog.
Ahli syurga dan neraka dipisahkan
oleh satu tembok yang sangat tinggi. Tembok ini membolehkan ahli syurga mampu
melihat ahli neraka dan begitulah sebaliknya. Perihal ini adalah bagi menambah
kenikmatan ahli syurga serta menambah kesengsaraan ahli neraka.
Kisah ini diceritakan oleh Allah SWT
menerusi Surah Al-A’raaf, ayat 46 yang bermaksud : Dan di antara
keduanya (Syurga dan neraka) ada tembok “Al-A’raaf “(yang menjadi) pendinding,
dan di atas tembok Al-A’raaf itu ada sebilangan orang-orang lelaki yang
mengenal tiap-tiap seorang (dari ahli-ahli Syurga dan neraka) itu, dengan tanda
masing-masing. Dan mereka pun menyeru ahli Syurga (dengan memberi salam,
katanya): “Salaamun Alaikum” (salam sejahtera kepada kamu). Sedang mereka,
sendiri belum lagi masuk Syurga, padahal mereka ingin sangat memasukinya.
Menurut Sheikh Mutawalli Sya’rawi,
tembok ini menyebabkan ahli neraka tidak boleh memanjat untuk menuju ke syurga.
Allah SWT mencipta neraka ini bukan hanya azabnya menjadikan ahli neraka
sengsara dan menderita. Bahkan mereka juga boleh melihat nikmat syurga
sehinggakan mereka mahu ke sana. Manakala bagi ahli syurga pula, mereka boleh
melihat keadaan dan kesengsaraan ahli neraka. Apabila mereka melihat, ia akan
menambahkan kesyukuran buat mereka diselamatkan daripada azab pedih di neraka.
Kemudian Ustaz Syaari menyambung
kisah mengenai golongan manusia yang berada di atas tembok antara syurga dan
neraka. Mereka melihat nikmat ahli syurga lalu mereka memberi salam kepada ahli
syurga. Mereka ini tidak mampu masuk ke syurga, tetapi mahu sangat masuk ke
dalamnya. Kemudian Allah SWT palingkan muka mereka ke arah neraka walaupun
mereka tidak mahu memandangnya. Lalu Allah SWT berfirman di dalam Surah
Al-A’raaf ayat 47 yang bermaksud : Dan apabila dialihkan pandangan mereka ke
arah ahli neraka, mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Janganlah
Engkau jadikan kami bersama orang-orang yang zalim”.
Bukan mereka sengaja tidak mahu
memandang ke arah neraka, tetapi betapa dahsyatnya azab neraka sehinggakan
mereka tidak sanggup untuk memandang neraka. Kemudian Allah SWT tunjukkan
kepada mereka keadaan ahli neraka lalu mereka berdoa kepada Allah SWT agar
tidak digolongkan mereka bersama orang-orang yang zalim.
Selain berdoa kepada Allah SWT,
mereka turut menuturkan dialog kepada ahli neraka. Perkara ini disebutkan di
dalam Surah al-A’raaf ayat 48 yang bermaksud : Dan orang-orang
yang berada di atas tembok Al-A’raaf menyeru beberapa orang (Ketua kaum kafir)
yang mereka kenal dengan tandanya, dengan berkata: “Nampaknya kumpulan kamu
yang ramai (atau kekayaan kamu yang besar) dan juga segala apa yang kamu
sombongkan dahulu – tidak dapat menolong kamu”.
Ayat ini menjelaskan, sekalipun
kekayaan yang dikumpulkan di dunia, tetap tidak mampu menyelamatkan ahli neraka
untuk keluar daripada neraka. Kemudian ahli Al-A’raaf ini berkata lagi kepada
ahli neraka. Dialog mereka dirakamkan menerusi ayat 49 Surah Al-A’raaf yang
bermaksud :
(Mereka bertanya
pula kepada Ketua-ketua kaum kafir itu dengan berkata): “Itukah orang-orang
yang kamu ejek-ejek dahulu dan kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan beroleh
rahmat dari Allah? (Sekarang dikatakan kepada mereka): ` Masuklah kamu ke dalam
Syurga, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik)
terhadap kamu, dan kamu pula tidak akan berdukacita”.
Ayat ini menjelaskan kepada kita
bahawa Allah SWT maha pengasih dan maha penyayang. Allah SWT mahukan kita
sentiasa berikhtiar untuk mendapatkan syurgaNya. Ayat ini memberitahu kita,
wujudnya ikhtiar ahli Al-A’raaf ketika mereka berada di antara syurga dan
neraka iaitu mempertahankan ahli syurga dan mengutuk perbuatan ahli neraka.
Kerana perbuatan inilah menurut Sheikh Mutawalli Sya’rawi, ahli Al-A’raaf masuk
ke dalam syurga dengan rahmat dan kasih sayang Allah SWT.
Semoga dengan rahmat Allah SWT,
segala ikhtiar kita dipandang oleh –Nya dalam meraih syurgaNya.
No comments:
Post a Comment