Wednesday, 11 April 2012

Usrah kaedah pendidikan dekati remaja bermasalah

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

2012/04/11

SABAN hari kita menyaksikan pelbagai gejala sosial dalam masyarakat khususnya membabitkan generasi muda dan remaja. Fenomena negatif ini seakan-akan membarah dalam jiwa golongan muda dan tindakan bersungguh-sungguh wajar untuk menanganinya.



Membendung gejala sosial, kaedah saluran agama adalah alternatif terbaik dan paling berkesan. Langkah penghuni Flet Seri Delima, Masai, Johor, yang menganjurkan pelbagai program bercorak keagamaan seperti belajar membaca al-Quran dengan tajwid yang tepat
Sebenarnya selain mengadakan kelas berbentuk pengajaran fardu ain dan fardu kifayah, kaedah pengajaran berbentuk usrah wajar diguna pakai untuk diterapkan dalam program mendekatkan masyarakat kepada ajaran agama.
Sebenarnya usrah boleh menjadi wasilah membina kemantapan akidah dan mengindahkan akhlak khususnya di kalangan remaja
Usrah kaedah pendidikan secara berkumpulan yang boleh dilakukan di rumah, surau atau dewan dalam lingkungan persekitaran dekat antara satu sama lain bagi memungkinkan matlamat program berjaya kekukuhan hubungan ukhuwah yang utuh.


Sebenarnya usrah boleh menjadi wasilah membina kemantapan akidah dan mengindahkan akhlak khususnya di kalangan remaja. Persekitaran positif berteraskan kegiatan keagamaan seperti usrah akan menjadi aset ke arah pembentukan remaja berjiwa luhur. 


Usrah membawa maksud keluarga, kumpulan individu atau golongan mukmin yang beriman berusaha dan bersikap tolong menolong antara satu sama lain untuk memahami serta menghayati alam kehidupan.


Pendidikan remaja dengan kaedah usrah begitu baik dilaksanakan kerana berdasarkan kepada tiga rukun utama untuk memperkasakan keutuhan tauhid, sekali gus mengukuhkan daya tahan keimanan anak muda. 
Tiga rukun usrah itu dimulakan dengan ta’aruf yang bererti mengenali perkara asas. Naqib atau naqibah iaitu ketua pembimbing kumpulan usrah berkewajipan mengenali secara dekat latar belakang ahli kumpulan.


Ta’aruf bermakna naqib atau naqibah bukan saja mampu mengelolakan majlis keilmuan tetapi perlu juga beraksi sebagai kaunselor yang mendekati remaja untuk mengetahui permasalahan mereka.


Rukun keduanya ialah memahami pelajar atau ahli kumpulan iaitu tafahum. Inilah keindahan pendidikan berasaskan usrah kerana sikap saling memahami dicerna seberapa daya yang mampu untuk memecah sebarang isu atau permasalahan. 


Sementera, rukun ketiga ialah nilai atau sikap tolong menolong, iaitu takaful. Ahli kumpulan yang lemah akan dibantu secara ikhlas oleh yang bijak dan lebih berilmu. Justeru, situasi tolong menolong akan membina semangat remaja untuk terus mengikuti pengajaran agama dengan lebih serius dan tekun.


Sesungguhnya dalam membentuk sahsiah peribadi remaja yang luhur dengan keterampilan beragama yang utuh tidak boleh dilakukan melalui kaedah kekerasan sebaliknya melalui sikap mesra dan lembut akan menjinakkan jiwa mereka. 


Perkara asas dalam amalan beragama yang benar seharusnya diterapkan dalam perbincangan usrah. Untuk membawa remaja semakin tertarik dan mendapat sambutan, kepelbagaian kaedah mestilah dilaksanakan.


Jangan terlalu memfokuskan kepada unsur haram dan halal, boleh dan tidak boleh sehingga pemikiran anak muda menjadi tertekan semasa berada dalam kumpulan usrah. Sebaliknya, mestilah menggunakan kaedah penceritaan, perumpamaan dan bersesuaian isu dibincangkan. 


Apabila sesuatu kumpulan itu sudah mantap dengan sesi usrahnya, baru isi pengajaran atau pendidikan diperkemaskan dengan yang lebih serius. Yakinlah, jika kita mampu membentuk pendidikan secara usrah di kawasan kediaman setempat, apa saja permasalahan berbentuk negatif akan dapat dikurangkan. 


Ini kerana nilai kerohanian yang tertanam kemas hasil tarbiah agama sudah sebati dalam jiwa anak muda. Jadi, boleh kita mencuba kaedah usrah ini sebagai salah satu pendekatan mengajak generasi muda mendekati agama di samping kaedah lain.


Kita harus lebih giat mengambil langkah membina generasi muda dengan acuan agama sebenar kerana merekalah akan menerajui alam kehidupan ini dan sudah tentu kita tidak ingin sama sekali gejala sosial terus menerus bermaharajalela tanpa sebarang usaha menanganinya.

No comments:

Post a Comment

Kejutan hari ini

Petang ni mendapat kejutan hadiah dari Cikgu Amelia Suib, salah seorang pelanggan buku dan pengguna channel fizicmozac. Wow dapat telekong S...