Monday, 2 September 2019

Sajak: Pembawa Rahmah


PEMBAWA RAHMAH
Mohamed Hatta Shaharom

Banyak dasawarsa silam
Sejarahmu tertulis
Dengan tinta kearifan
Bila gugusan usrah terbentuk
Dalam kelompok...
yang kehausan petunjuk.


Langkahmu maju
Bila diri...
ingin mencapai bintang
dengan semangat tak terkekang.

Fikrahmu adalah natijah...
idealisme sebuah jamaah
impian alami sebuah jabhah pemusafiran sebuah kafilah.

Dari gurun gersang & pantai dibakar mentari
Dari banjaran gunung bersalju beku
Dari kefirusan air lautan tropika
Engkau penemu akal dan kalbu.

Akalmu berfikir
Kalbumu berzikir.

Untuk...
membangun ranah
memberi erti kepada daulah.
Indah, tak mudah patah.
Jiwamu umpama keris
Tempaan sang empu...
penggembleng nikel dan besi
Hingga pamor...
menjalar bak ekor naga bercahaya mekar bak bunga raya.

Takdirmu, sejarah dilakar
Di sudut alam
Bernama Nusantara
Bercapaian seantero dunia.

Oleh kawan namamu dipuji dan dijulang
Oleh si keliru namamu dikeji dan ditendang Dan lasykar siber terus rencana keliru mahu menjadi seteru
Dijulang dan dipuji
Ditendang dan dikeji.

Namun salam rahmah kau hulur selalu...
kepada kawan dan si keliru
kepada semua.

Engkau hanyalah gerombolan insan
Sesekali tergelincir
Banyak kali di depan tak tercicir.

Ketaatan dalam kepengikutan
Kepedulian kasih dalam kepemimpinan.

Keliutanmu dalam jiwa merdeka
Kerana rukuk dan sujudmu...
hanya untuk Tuhan Maha Esa
bukan untuk reda manusia.

Kerahsiaanmu...
penghayatan risalah Qur'an
Kekuatanmu...
pelaksanaan Sunnah kerasulan Keindahanmu...
penyantunan makhluk Tuhan.

Dengan jejak yang tetap
Engkau bergerak menuju ufuk esok
Tanpa cemas bimbang
Setenang wajah tasik yang diusap bayu lembut.

Biar seribu amanah digalas
Bantuan engkau pohon daripada Yang Maha Kuasa

Tiada gundah berlarutan
Hanya keredaan yang digemakan...
ke seluruh ruang alam
ke Arasy Tuhan Maha Agung.

Engkau...mewarisi rahmatan lil-'alamin
sarat kemurahan hati untuk jagat insan
di bawah teduhan kasih ar-Rahman, ar-Rahim.

Engkau...di medan tempur keadilan lawan kezaliman di pentas dunia kemakrufan lawan kemungkaran di kancah sosial kemanusiaan lawan kerasisan.

Namamu bererti kemuliaan...
berinti keluli kerahmatan
bersalut emas keimanan
bertatah intan kecintaan.

No comments:

Post a Comment

Kejutan hari ini

Petang ni mendapat kejutan hadiah dari Cikgu Amelia Suib, salah seorang pelanggan buku dan pengguna channel fizicmozac. Wow dapat telekong S...