Tuesday, 27 November 2012

Majlis Sirih Pulang ke Gagang X Trovia 0812

Begitu cepat masa berlalu, selesai sudah SPM 2012.  Maka bertambah lagi koleksi anak muridku yang dah graduate daripada Mozac.  Badge ni lebih dikenali dengan gelaran Xtrovia yang bermula dari 2008 - 2012.  Banyak kenangan yang disimpan bersama badge ni..Inilah badge yang pertama mencipta sejarah PMR dengan 89 pelajar mendapat 8A.  Badge ini juga merupakan hasil didikan Mozac sebagai sekolah SBT.  Mereka ini berpeluang merantau banyak negara seperti Singapura, Beijing China, Bangkok Thailand, dan Kalimantan Indonesia. 


Aku sebagai guru penyelaras R&D merasa puas dengan pencapaian mereka di bidang R&D.  Kredit untuk team 'Akhdar Ramp' yang telah menjelajah banyak pertandingan walaupun tak menang anugerah utama.  Namun kejayaan menjuarai pertandingan rekacipta seluruh SBP memberi seribu kenangan manis buatku.  Begitu juga dengan kejayaan pasukan robotik 2010 yang mewakili ke peringkat kebangsaan dan menang 'Innovative Award' di pertandingan Robotik Kebangsaan 2010.  Semuanya aku abadikan dalam penulisan kajian tindakan yang aku buat istimewa meraikan kegigihan mereka dalam melaksanakan R&D.
Kali ini Cikgu Nurul Ain Tay diberi tanggungjawab menjadi penyelaras tingkatan 5 bagi badge xtrovia ni.  Satu tugas yang memang bukan calang orang boleh pikul; menghadapi cabaran dan karenah pelajar, pentadbiran (PK1 semestinya) dan program-program kecemerlangan SPM serta program extra lain (Panca Delima, majlis graduasi, sirih pulang ke gangang dan lain-lain lagi - aku pun dah lupa pasal banyak sangat.)  Tahun ni pecah rekod dengan program kecemerlangan Immersion yang melebihi kiraan 10 jari.  Tahniah buat sahabat ku Ain yang berjaya melaksanakan tugas tersebut dengan cemerlangnya.  Sudah pasti akan disambung kontraknya lagi untuk tahun 2013.  


Majlis Sirih Pulang ke Gagang ini bertujuan sebagai simbolik untuk menyerahkan kembali pelajar kepada ibu bapa masing-masing setelah lima tahun berada di Mozac.  Aku tertarik dengan doa penutup yang dibacakan oleh Bintang Muzaffar, Adib Adam sebagai mengenang jasa guru-guru Mozac:
" Ya Allah, sesungguhnya guru-guru kami telah banyak berjasa kepada kami dan kami tidak mampu membalas jasa-jasa mereka yang besar itu. Oleh itu ya Allah, Engkau murahkanlah rezeki mereka, berikanlah mereka kesihatan yang berpanjangan dan berikanlah mereka kesenangan hidup di dunia mahupun di akhirat.  Ya Rahman, Ya Rahim, Kau panjangkanlah umur guru-guru kami dalam iman, supaya mereka mampu untuk terus menabur bakti mendidik anak bangsa.  Seterusnya Ya Allah, kau tabahkan hati guru-guru kami untuk menempuh segala cabaran dan karenah pelajar-pelajar pada masa akan datang.  Ya Sattar, Ya Alim, Kau tetapkanlah iman di dalam hati guru-guru kami dan Kau kurniakanlah kebaikan dan rahmat sepanjang mereka hidup sehingga akhir hayat.  Ya Allah, tempatkanlah guru-guru kami dalam kalangan orang-orang yang beriman dan Kau tempatkanlah mereka di syurga. Jauhkanlah guru-guru kami dari azab api neraka dan hiasilah diri mereka dengan akhlak yang mulia sebagaimana akhlak Rasulullah saw."

Ya Allah semoga Engkau berkati anak-anak didik kami ini agar mereka menjadi insan mulia, insan soleh yang sentiasa memberi manfaat pada agamaMu.  Semoga semua mereka mendapat 9A dalam peperiksaan SPM yang telah mereka lalui dengan penuh kesabaran dan kesungguhan.  Amin..

Aku sertakan video yang telah dirakam sepanjang program Keindahan Bersamamu yang telah diadakan di Masjid Raudhatul Jannah (masjid cikgu Hashim) Bukit Katil pada bulan Ramadan lepas.




Semoga program Keindahan Bersamamu ini memberikan impak besar kepada transformasi hidup anak-anak didikku yang disayangi badge xtrovia 0812. 

No comments:

Post a Comment